Pengagihan peruntukan negeri, larangan umum projek antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR: Isu berhubung keadilan pengagihan peruntukan Persekutuan kepada kerajaan negeri dan status larangan pengumuman projek selepas penamaan calon pilihan raya dijangka menjadi tumpuan utama pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) meminta Perdana Menteri menjelaskan dakwaan bahawa peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri adalah tidak adil dan tidak mencukupi berbanding hasil yang dikutip, selain usaha Kerajaan MADANI dalam menambah baik penyaluran peruntukan tersebut.

Pada sesi sama, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) turut bertanyakan Perdana Menteri sama ada larangan pengumuman peruntukan atau projek kerajaan selepas penamaan calon masih terpakai, serta mekanisme penguatkuasaannya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Melaka, dan Negeri Sembilan.

Sementara itu, pada sesi soal jawab lisan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) meminta Menteri Komunikasi menyatakan langkah kerajaan memperkukuh literasi media dan digital rakyat dalam menghadapi penyebaran kandungan janaan kecerdasan buatan (AI), termasuk video palsu (deepfake), serta mekanisme pengesahan dan pelabelan bagi mengelakkan manipulasi visual di media sosial.

Selain itu, tahap kesiapsiagaan bekalan elektrik negara bagi memenuhi peningkatan permintaan daripada pusat data dan industri AI turut menjadi tumpuan menerusi soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) kepada Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Antara isu lain yang turut dibangkitkan termasuk penilaian keberkesanan skim mySalam bagi golongan B40 oleh Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) dan kadar tebusan Baucar Buku MADANI bagi 2024 dan 2025 oleh Syahredzan Johan (PH-Bangi).

Isu keberkesanan inisiatif TalentCorp seperti Career Comeback Programme (CCP) dalam menarik wanita kembali menyertai pasaran pekerjaan turut dikemukakan oleh Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) kepada Menteri Sumber Manusia.

Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) pula meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan jumlah pelaksanaan terkini Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara dan kesediaan kementerian untuk meningkatkan kekerapan program itu bagi meringankan kos sara hidup rakyat.

Selepas sesi itu, persidangan akan diteruskan dengan penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026.

Turut tersenarai dalam aturan urusan mesyuarat adalah pertimbangan terhadap pindaan yang dibuat oleh Dewan Negara bagi RUU Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025, serta RUU Jenayah Siber 2026. – BERNAMA

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *