KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menegaskan doktrin pertahanan negara perlu ditransformasikan seiring dengan perkembangan teknologi dan perubahan landskap keselamatan global bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi.
Seri Paduka Baginda bertitah, perubahan corak ancaman dunia yang semakin kompleks menuntut ATM melaksanakan transformasi strategik secara menyeluruh melalui pembentukan ‘Angkatan Masa Hadapan’, sebuah angkatan yang lebih bersepadu, moden dan mampu menghadapi cabaran peperangan generasi kelima.
Menurut baginda, perkembangan pesat teknologi serta perubahan dinamik geopolitik serantau dan antarabangsa memerlukan Malaysia menilai semula pendekatan pertahanan negara agar tidak terus bergantung kepada konsep peperangan konvensional semata-mata.
“Persekitaran keselamatan global dan serantau sedang mengalami perubahan pesat, kompleks dan tidak menentu. Angkatan masa hadapan yang bakal dibentuk hendaklah merupakan sebuah angkatan yang bersepadu dan berupaya menghadapi Fifth Generation Warfare.
“Oleh itu, saya menyeru kerajaan supaya memberi keutamaan kepada perolehan aset dan peralatan berteknologi terkini serta menyokong struktur baharu ATM,” titah baginda ketika berangkat menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, pada Sabtu.
Seramai 566 pegawai kadet dari pelbagai cabang perkhidmatan ATM berjaya menamatkan latihan dan menerima watikah tauliah pada istiadat berkenaan.
Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman.
Dalam titahnya, Sultan Ibrahim menegaskan setiap proses transformasi dilaksanakan mesti menghasilkan pembaharuan yang benar-benar meningkatkan keupayaan angkatan, bukannya perubahan menjejaskan keberkesanan pertahanan negara.
Menurut baginda, pembangunan kekuatan pertahanan tidak hanya bergantung kepada pembelian aset baharu, sebaliknya perlu disokong dengan pembaharuan organisasi, peningkatan keupayaan anggota serta penggunaan teknologi moden yang mampu menghadapi ancaman masa kini.
Justeru, kerajaan diseru memberi komitmen berterusan terhadap usaha memodenkan ATM melalui perolehan aset strategik, pembangunan sistem pertahanan berteknologi tinggi serta penyusunan struktur angkatan yang lebih dinamik dan bersepadu.
Baginda turut mengingatkan, cabaran peperangan hari ini bukan lagi terhad kepada penggunaan kekuatan ketenteraan secara konvensional, malah melibatkan peperangan siber, operasi psikologi, manipulasi maklumat, teknologi tanpa pemandu serta penggunaan kecerdasan buatan yang semakin mempengaruhi strategi pertahanan dunia.
Pada masa sama, Sultan Ibrahim mengingatkan semua pegawai kadet yang menerima tauliah supaya sentiasa menjunjung nilai kepimpinan, disiplin dan integriti sepanjang menjalankan amanah sebagai pegawai ATM.
Baginda bertitah, kerjaya sebagai seorang pegawai tentera bukan sekadar memerlukan ketahanan fizikal, malah turut menuntut kebijaksanaan dalam membuat keputusan, ketegasan memimpin anggota serta kesanggupan berkorban demi mempertahankan kedaulatan negara.
“Saudara dan saudari hendaklah memimpin dengan bijaksana, adil dan menjadi contoh yang baik kepada anggota bawahan. Ingat, ‘There are no bad soldiers, only bad leaders’,” titah baginda.
Sultan Ibrahim turut menegaskan, pegawai muda yang ditauliahkan hari ini merupakan tonggak kepada pembentukan ATM pada masa hadapan.
Sehubungan itu, baginda mengingatkan mereka agar tidak sekali-kali terjebak dengan amalan rasuah, bersikap sambil lewa dalam menjalankan tugas atau mengutamakan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan negara.
“Awak semua adalah tonggak Angkatan Masa Hadapan. Oleh itu, jangan sekali-kali makan rasuah, malas bekerja atau meletakkan kepentingan diri sendiri lebih tinggi daripada kepentingan tanah air,” titah baginda.
Dalam majlis sama, Sultan Ibrahim turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa yang telah banyak berkorban bagi memastikan anak mereka berjaya menamatkan latihan sebagai pegawai tentera.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada jurulatih serta seluruh warga ATM yang memainkan peranan penting dalam membentuk disiplin, ketahanan mental dan semangat patriotisme dalam kalangan pegawai kadet.
Mengakhiri titah, Seri Paduka Baginda mendoakan agar Malaysia terus dikurniakan keamanan, kestabilan, kemajuan dan keberkatan, sebelum memperkenankan pentauliahan 566 pegawai kadet sebagai pegawai Angkatan Tentera Malaysia.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L