Raja Permaisuri Agong Sokong Ilham Seni Diraja Dalam Pembentukan Sahsiah

Oleh Fatin Sajidah Fathuldin

KUALA LUMPUR – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan menerima menghadap kumpulan tenaga pengajar Program Ilham Seni Diraja di Istana Negara, semalam, bagi meneliti perkembangan pelaksanaan program tersebut.

Dalam sesi berkenaan, Seri Paduka Baginda menerima taklimat daripada Puan Sri Tiara Jaquelina, pengasas Akademi Enfiniti selaku badan pelaksana, mengenai perjalanan dan pencapaian program sejak dilancarkan pada 29 Januari lalu.

Program Ilham Seni Diraja diwujudkan bagi memberi ruang kepada pelajar daripada keluarga B40 mengembangkan bakat dalam bidang seni dan budaya, selain membina jati diri serta menjauhkan mereka daripada pengaruh negatif.

Seramai 200 pelajar bersama 14 guru daripada tujuh sekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyertai program yang dilaksanakan menerusi kerjasama Istana Negara, Kementerian Pendidikan dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor.

Para peserta diberi pendedahan kepada pelbagai cabang seni persembahan seperti lakonan, muzik, fesyen dan pengurusan di belakang tabir sesebuah pementasan.

Menurut Raja Permaisuri Agong, hasrat utama program itu bukan sekadar mengasah bakat seni, tetapi turut membentuk sahsiah dan peribadi peserta.

“Hasrat saya adalah supaya program ini menjadi satu saluran yang membina perwatakan individu dan persahabatan yang positif untuk anak-anak ini agar menjauhkan mereka daripada pengaruh gejala sosial,” titah baginda.

Baginda turut berharap program tersebut mampu membuka mata peserta terhadap peluang kerjaya dalam industri kreatif.

“Ia juga menjadi satu pendedahan kepada peluang kerjaya dalam bidang ini bagi mereka yang benar-benar berminat dan cenderung ke arah kesenian dan kebudayaan,” titah baginda lagi.

Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *