BERSAMA wajibkan calon isytihar harta, tandatangani enam akuan bersumpah termasuk bon RM2 juta

JOHOR BAHRU – Gabungan politik BERSAMA mengumumkan semua 15 calonnya yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 diwajibkan mengisytiharkan harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaan masing-masing menerusi akuan bersumpah sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ketelusan serta integriti dalam politik.

Menerusi kenyataan media bersama yang dikeluarkan oleh Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad pada Khamis, gabungan itu memaklumkan setiap calon bukan sahaja perlu mengisytiharkan kedudukan kewangan mereka, malah turut menandatangani enam dokumen berbentuk akuan bersumpah dan akujanji sebelum diumumkan secara rasmi sebagai calon.

Menurut kenyataan itu, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada mekanisme yang diperkenalkan bagi memastikan setiap calon mematuhi standard tadbir urus yang ditetapkan oleh BERSAMA sepanjang tempoh mereka menjadi wakil rakyat.

Antara syarat utama dikenakan ialah calon perlu menandatangani akujanji untuk meletakkan jawatan serta mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya dipecat atau berhenti daripada menjadi ahli BERSAMA.

Bagi menguatkuasakan komitmen tersebut, setiap calon turut dikehendaki menandatangani surat peletakan jawatan secara bersyarat yang akan disimpan oleh BERSAMA selaras dengan syarat dipersetujui.

Selain itu, calon juga perlu menandatangani akujanji untuk memulangkan wang deposit pilihan raya yang dibayar oleh BERSAMA sekiranya melanggar syarat ditetapkan.

Setiap calon turut diwajibkan mengesahkan menerusi akuan bahawa mereka layak bertanding di sisi undang-undang serta telah memberikan semua maklumat tepat sepanjang proses pemilihan calon.

Dalam masa sama, mereka perlu mengemukakan akuan bersumpah yang mengandungi butiran lengkap mengenai aset, hutang, pendapatan serta perbelanjaan masing-masing.

Satu lagi syarat diperkenalkan ialah calon perlu bersetuju dengan beberapa komitmen prestasi, termasuk tidak melompat parti, tidak mengosongkan kerusi tanpa sebab yang dipersetujui, menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri serta memenuhi beberapa indikator prestasi lain.

Sekiranya melanggar akujanji tersebut, calon berkenaan boleh dikenakan bon penalti sebanyak RM2 juta seperti diperuntukkan dalam dokumen akujanji.

Menurut BERSAMA, draf lengkap enam dokumen akuan bersumpah dan pengisytiharan harta itu telah disediakan serta boleh diakses oleh orang ramai sebagai rujukan sebelum proses penamaan calon.

Gabungan itu memaklumkan semua 15 calon telah bersetuju untuk menandatangani dokumen berkenaan, dengan semua akuan bersumpah dijangka diserahkan sepenuhnya kepada BERSAMA sebelum jam 12 tengah hari pada 26 Jun, iaitu enam jam sebelum senarai calon diumumkan secara rasmi.

Sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap keterbukaan, BERSAMA turut memaklumkan penyata harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaan setiap calon akan dimuat naik ke laman rasmi bersama.org bermula jam 10 malam pada Jumaat.

Orang ramai akan diberikan akses untuk meneliti latar belakang setiap calon, termasuk pengalaman kerjaya, kelayakan pendidikan, penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan serta kedudukan kewangan masing-masing.

Dalam kenyataan sama, BERSAMA mengumumkan senarai penuh 15 calon PRN Johor akan diumumkan pada jam 8 malam, 26 Jun di ruang parkir Paragon Market Place, Jalan Tampoi, Kampung Baru Majidee.

Majlis berkenaan turut dijadualkan menjadi platform pelancaran Trak Kancil yang akan digunakan sepanjang tempoh kempen PRN Johor 2026, selain disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial gabungan itu.

BERSAMA turut mengajak orang ramai menghadiri majlis berkenaan dengan membuat pendaftaran melalui laman rasminya.

Pada masa sama, gabungan tersebut berharap parti-parti politik lain yang bertanding dalam PRN Johor turut mengambil langkah sama dengan mengisytiharkan harta calon masing-masing bagi memperkukuhkan budaya integriti dan akauntabiliti dalam politik negara.

Selain pengisytiharan harta calon, BERSAMA turut berjanji akan mendedahkan penyata perbelanjaan kempen serta sumber dana digunakan sepanjang PRN Johor dalam tempoh dua minggu selepas kempen pilihan raya berakhir.

Menurut Rafizi dan Nik Nazmi , pendekatan itu bertujuan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap amalan politik yang lebih telus, bertanggungjawab dan berintegriti.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *