Kuala Lumpur – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa tindakan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi keluar parti bukan berpunca daripada dakwaan campur tangan pihak istana dalam urusan UMNO Johor, sebaliknya berkait dengan kekecewaan berhubung pemilihan calon pilihan raya.
Menurut Asyraf, beliau berasa dukacita dengan keputusan Puad meninggalkan UMNO, namun menghormati hak demokrasi bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) itu untuk membuat pilihan sendiri.
“Saya hanya mampu mengucapkan selamat maju jaya dan mendoakan segala kebaikan atas jasa yang telah beliau sumbangkan kepada parti selama ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Asyraf menyifatkan alasan yang diberikan Puad berhubung dakwaan kononnya Istana mengawal UMNO Johor dan mempengaruhi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sebagai tidak berasas serta berbaur fitnah.
Beliau mendakwa Puad sebelum ini telah menghantar surat yang mengandungi ugutan untuk meninggalkan UMNO dan mengkritik parti sekiranya kepimpinan tertinggi tidak mempertimbangkan anaknya sebagai calon bagi kerusi DUN Rengit.
Menurut Asyraf, parti mengakui anak Puad mempunyai potensi sebagai pemimpin muda, namun pemilihan calon dibuat berdasarkan pelbagai pertimbangan dan bukannya atas faktor kekeluargaan.
“Tidak wajar seorang pemimpin yang berpengalaman mensyaratkan anaknya mesti dipilih sebagai calon menggantikan tempat beliau. Jika tidak dipenuhi, beliau mengugut untuk keluar parti dan menghentam UMNO,” katanya.
Asyraf turut mendakwa tindakan sedemikian bukan kali pertama dilakukan Puad, malah pernah berlaku ketika era kepimpinan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, apabila beliau dikatakan mengugut untuk meninggalkan parti sekiranya tidak dicalonkan semula sebagai Ahli Parlimen Batu Pahat.
Sehubungan itu, beliau menegaskan UMNO bukan sebuah parti yang mengamalkan politik warisan atau mengutamakan keluarga dalam menentukan kepimpinan.
“UMNO bukan parti warisan anak-beranak. Perjuangan UMNO jauh lebih besar daripada kepentingan peribadi, tuntutan keluarga atau rasa kecewa individu,” katanya.
Beliau menambah, adalah tidak wajar parti yang telah memberi ruang dan peluang kepada seseorang pemimpin akhirnya menjadi sasaran kritikan hanya kerana kehendak peribadi tidak dipenuhi.
“Asas perjuangan parti perlu mengatasi kepentingan individu. UMNO tidak boleh terus diugut dengan tuntutan yang bersifat peribadi,” katanya lagi.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001