Kakak Ronaldo berang, tuduh pemain Portugal sengaja sabotaj adiknya

LISBON – Kem skuad kebangsaan Portugal mula bergolak apabila kakak kepada bintang legenda, Cristiano Ronaldo secara terbuka mendakwa wujudnya pakatan dalam kalangan pemain untuk mensabotaj impian Piala Dunia adiknya itu.

Tuduhan berat itu muncul selepas Portugal terikat dengan keputusan seri mengejut menentang DR Congo pada aksi peringkat kumpulan, Rabu lalu.

Dalam perlawanan itu, Ronaldo, 41, gagal mencatatkan sebarang percubaan tepat ke arah pintu gol, kurang 24 jam selepas seteru utamanya, Lionel Messi meledak hatrik gemilang ketika membantu Argentina menewaskan Algeria.

Kakak kepada bekas bintang Manchester United itu, Katia Aveiro, melancarkan serangan terbuka menerusi hantaran di Instagram Stories dengan membayangkan ada usaha sengaja untuk ‘memulaukan’ adiknya di atas padang.

“Secara ajaib mereka (pemain Portugal) tiba-tiba lupa cara untuk menghantar bola, merebut bola dan melancarkan serangan balas. Permainan hanya berkisar mengenai hantaran ke belakang di kawasan tengah. Piala Dunia yang pelik. Sangat pelik.”

Aveiro, 48, turut dikesan tanda ‘suka’ pada satu hantaran akaun peminat yang menuduh perancang tengah, Bruno Fernandes, gagal mempamerkan aksi terbaiknya setiap kali menyarung jersi skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, dakwaan sabotaj itu disangkal keras oleh wartawan sukan terkemuka Portugal, Vitor Pinto, yang menyifatkan kenyataan terbabit keterlaluan, namun tidak menolak kemungkinan wujudnya retak menanti belah dalam kem pasukan.

“Kenyataan ini menunjukkan risiko berlakunya ‘perang saudara’ dalam skuad kebangsaan. Sifat terlalu sensitif terhadap sebarang kritikan kepada Ronaldo menjadi punca polarisasi (perpecahan) ini berlaku.

“Saya tegaskan tiada sebarang boikot terancang terhadap Ronaldo. Cuma, memang diakui hantaran kepada penyerang utama tidak berkesan, selain pasukan gagal menggunakan strategi yang membolehkan penyerang membuka ruang untuk pemain lain memecah benteng lawan,” kata Pinto.

Dalam pada itu, pertahanan Manchester City, Ruben Dias tampil meredakan ketegangan dan menggesa rakan sepasukan untuk tidak memperdulikan kritikan luar yang dianggapnya sekadar ‘bunyi bising’ pertandingan.

“Cristiano sudah biasa berdepan tekanan luar biasa sama ada di peringkat kelab mahupun antarabangsa. Kritikan seperti ini lumrah jika pasukan mencatatkan keputusan hambar.

“Kami memilih untuk menutup telinga daripada kritikan yang tidak penting ini. Sasaran kecaman bukan hanya kepada seorang pemain (Ronaldo), tetapi kami semua terbabit sebagai satu pasukan,” tegas Dias, 29.

Sementara itu, legenda Arsenal dan penganalisis sukan Fox TV, Thierry Henry, sebaliknya melihat kegagalan Portugal memungut tiga mata berpunca daripada sikap Ronaldo sendiri.

Henry, 48, mendakwa penyerang Al-Nassr itu terlalu mementingkan diri dan kerap mengganggu pergerakan rakan sepasukan.

“Satu perkara yang paling penting pasukan yang perlu menjaringkan gol, bukannya diri kamu yang wajib menjaringkan gol,” bidas Henry.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *