Mengacu Potensi, Mendepani Cabaran: Kelab Prime Mover UiTM Pasak Jati Diri Remaja Holistik Di SMK Kajang Utama & MOZAC

Oleh: Nawwar Hafidz Rahimi

KAJANG – Penularan isu gejala sosial dalam kalangan generasi muda hari ini seperti kes pergaulan bebas, buli, lumba haram dan pelbagai salah laku moral kian membimbangkan masyarakat serta sering menjadi paparan utama media massa.

Rentetan daripada itu, krisis sosial sebegini secara tidak langsung dikesan menjadi punca utama kepada kemerosotan disiplin, hilang fokus serta kejatuhan prestasi akademik pelajar di sekolah.

Menyedari impak negatif itu, Kelab Prime Mover UiTM, Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban bertindak proaktif menganjurkan Program Remaja Holistik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kajang Utama melibatkan 439 pelajar bagi membina daya tahan mental dan benteng jati diri mereka demi memacu kecemerlangan akademik.

Program berlangsung pada 12 Jun lalu itu bukan sahaja memfokuskan kepada aspek pembangunan kendiri dan kesedaran kesihatan mental, malah dijadikan instrumen pendidikan pencegahan awal bagi mengekang penularan anasir negatif.

Melalui pendekatan yang interaktif, santai dan mesra remaja, peserta dibimbing untuk menguruskan stres dan kegelisahan belajar, sekali gus menjauhkan diri daripada perangkap gejala sosial yang berisiko meranapkan masa hadapan serta cita-cita persekolahan mereka.

Pengarah Program, Mohamad NurHakim Azmi menjelaskan, program itu memberikan tumpuan khusus kepada usaha menyuntik keupayaan membuat keputusan yang bijak dalam mendepani tekanan rakan sebaya.

Menurut beliau, menerusi slot utama seperti Modul Perkembangan Diri dan Transformasi Diri Remaja, Modul Kesihatan Emosi dan Mental, Modul Seksualiti Remaja serta sesi Motivasi dan Bimbingan Diri, pelajar didedahkan dengan maklumat tepat untuk menepis anasir tidak sihat sambil mengekalkan momentum motivasi yang tinggi bagi menghadapi cabaran di sekolah serta dunia luar.

Barisan sukarelawan daripada Kelab Prime Mover UiTM, Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban, yang sebelum ini telah menjalani Kursus Training of Trainers (TOT) anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), bertindak sebagai pembimbing akrab.

Menerusi latihan intensif itu, mahasiswa menggunakan kemahiran komunikasi berkesan untuk menyampaikan taklimat kesihatan reproduktif dan sosial yang dikaitkan secara langsung dengan kepentingan menjaga maruah serta disiplin diri demi mencapai sasaran akademik tertinggi.

Sementara itu, Penasihat Kelab, Khairolizwan Harry menekankan, kecemerlangan akademik yang holistik tidak akan mampu dicapai sekiranya moral dan sahsiah pelajar runtuh akibat pengaruh gejala sosial.

Beliau menjelaskan, penguasaan intelek yang hebat haruslah diiringi dengan emosi stabil dan kekuatan jati diri yang teguh.

Melalui bimbingan berterusan seperti ini, pelajar dibantu untuk menjadi individu yang lebih fokus, berkeyakinan tinggi dan berupaya menolak sebarang bentuk salah laku moral demi merancang masa depan kerjaya yang gemilang.

Pelaksanaan program ini mendapat sambutan menggalakkan dari pihak pengurusan dan warga SMK Kajang Utama kerana berjaya menyuntik kesedaran dwi-impak serta menjaga sahsiah diri daripada rintangan sosial sambil melonjakkan motivasi belajar di bilik darjah.

Dengan komitmen berterusan ini, Kelab Prime Mover UiTM, Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban terus konsisten dalam menyokong ekosistem pendidikan negara bagi melahirkan modal insan muda yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Sementara itu, program sama turut diadakan di Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (MOZAC), melibatkan kehadiran aktif 148 pelajar yang berjaya menghidupkan suasana pembelajaran interaktif dan ceria sepanjang pembentangan modul berlangsung.

Program yang berlangsung pada 13 Jun lalu itu, memfokuskan usaha untuk memupuk dan meningkatkan kesedaran pelajar mengenai kepentingan pembangunan kendiri, penjagaan kesihatan emosi serta mental, di samping pendedahan kepada pendidikan seksual yang sihat.

Menggunakan pendekatan lebih interaktif, santai dan mesra remaja, pengisian program ini diharap mampu membimbing pelajar dalam mengemudi cabaran sepanjang alam persekolahan, sekali gus membentengi diri mereka daripada terjerumus ke dalam kancah sosial yang boleh merosakkan masa depan.

Penulis, Nawwar Hafidz Rahimi adalah Exco Penerbitan Artikel dan Media Massa Kelab Prime Mover UiTM, UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *