KULIM – Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kulim Bandar Baharu, Awang Teh Lean Ong mengumumkan peletakan jawatan dan keluar dari PKR berkuat kuasa serta-merta selepas mendakwa berlaku manipulasi dalam pemilihan parti tahun 2025 yang menurutnya menjejaskan prinsip reformasi yang menjadi teras perjuangan parti itu.
Dalam satu kenyataan panjang di media sosial, Awang Teh berkata, keputusan itu bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan beliau telah mengabdikan lebih 13 tahun perjuangannya bersama PKR sejak 2013.
Menurut beliau, walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk kekalahan Pakatan Rakyat di Parlimen Kulim Bandar Baharu serta kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kulim dan Bandar Baharu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013, beliau tetap memilih untuk terus bersama parti ketika ramai aktivis mengambil keputusan berehat daripada politik.
Katanya, bersama rakan seperjuangan, mereka membina semula kekuatan parti di peringkat akar umbi dengan menggerakkan Jentera Daerah Mengundi (JDM) menggunakan masa, tenaga dan dana sendiri demi memastikan PKR terus relevan di kawasan itu.
“Ketika itu matlamat kami cukup jelas iaitu memenangkan PKR di Kulim Bandar Baharu serta melihat Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan (dari penjara) dan diangkat sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Awang Teh turut mengimbas peranannya dalam PRU 2018 apabila beliau mendakwa menyediakan lebih 500 petugas Pengiraan Undi dan Ejen Tempat Mengundi (PACA) serta melengkapkan seluruh JDM walaupun tidak dipilih sebagai calon.
Menurutnya, beliau tidak pernah kecewa atau menarik diri daripada perjuangan walaupun diketepikan sebagai calon, sebaliknya terus menggerakkan jentera bagi memastikan kemenangan parti.
“Bagi saya, perjuangan bukan mengenai jawatan, tetapi mengenai idealisme dan keyakinan terhadap masa depan negara,” katanya.
Beliau berkata, usaha itu akhirnya membuahkan hasil apabila Pakatan Harapan berjaya memenangi Parlimen Kulim Bandar Baharu dan DUN Kulim pada PRU 2018, selain membentuk kerajaan Persekutuan yang membawa kepada pembebasan Anwar sebelum akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri pada tahun 2022.
Menurut Awang Teh, sepanjang tempoh lebih sedekad itu beliau telah mengorbankan wang ringgit yang mencecah ratusan ribu ringgit, masa bersama keluarga serta komitmen peribadi demi membangunkan PKR di Kulim Bandar Baharu.
Beliau mendakwa keahlian cabang tersebut berjaya ditingkatkan daripada kurang 4,000 ahli kepada hampir 8,000 ahli, sekali gus menjadikan Kulim Bandar Baharu antara cabang yang mempunyai jumlah ranting terbanyak di Kedah.
Walaupun PKR gagal mempertahankan penguasaan di kawasan tersebut pada PRU 2022, Awang Teh berkata, beliau tetap meneruskan aktiviti parti dan usaha menambah keahlian sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.
Namun, beliau mendakwa segala pengorbanan tersebut tidak dihargai apabila berlaku apa yang disifatkannya sebagai manipulasi dalam pemilihan parti 2025.
Menurut beliau, kekalahannya dalam pemilihan cabang dipercayai berpunca daripada label sebagai individu yang dikaitkan dengan kem bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Beliau turut mendakwa pasukannya berjaya melaksanakan lebih 1,700 proses e-KYC di cabang berkenaan, namun beliau seorang sahaja yang tewas dalam pemilihan tersebut.
Awang Teh turut mengkritik seorang pemimpin cabang yang didakwanya menang dalam pemilihan berkenaan meskipun terdapat pelbagai aduan mengenai pelanggaran perlembagaan parti yang dikemukakan kepada kepimpinan pusat.
Beliau mendakwa, individu tersebut tidak banyak membantu cabang sepanjang menjadi wakil rakyat walaupun pernah menerima sokongan penuh jentera parti semasa pilihan raya.
“Pelbagai aduan berkaitan pelanggaran perlembagaan parti telah dikemukakan, namun sehingga hari ini tiada tindakan sewajarnya diambil oleh pihak pusat atau Majlis Pimpinan Negeri,” katanya.
Awang Teh berkata, beliau sebelum ini sentiasa mempertahankan parti dalam apa jua keadaan termasuk pernah dipanggil ke balai polis kerana mempertahankan PKR, namun tidak pernah mengeluh kerana percaya perjuangan reformasi lebih besar daripada kepentingan peribadi.
Justeru, beliau menyifatkan situasi yang berlaku ketika ini sebagai satu penghinaan terhadap prinsip reformasi dan keadilan yang menjadi asas penubuhan PKR.
“Parti yang lahir untuk menentang kezaliman tidak seharusnya membiarkan manipulasi, pilih kasih dan budaya melindungi pihak tertentu berakar dalam organisasinya,” katanya.
Beliau turut memberi amaran, jika keadaan itu terus dibiarkan, lebih ramai aktivis akar umbi berkemungkinan berdepan nasib sama pada masa hadapan.
Sehubungan itu, Awang Teh mengumumkan keputusan untuk meninggalkan PKR sebagai ahli biasa berkuat kuasa serta-merta atas dasar prinsip, maruah dan pertimbangan terhadap masa depan politiknya.
“Saya keluar bukan kerana kecewa tidak mendapat jawatan. Saya keluar kerana kecewa melihat nilai-nilai yang saya pertahankan selama ini semakin pudar dalam parti.
“Jawatan boleh diambil. Kedudukan boleh dimanipulasi. Tetapi maruah, integriti dan sejarah perjuangan tidak boleh dipadamkan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua aktivis dan sahabat seperjuangan yang bersama-sama mengharungi pelbagai cabaran sepanjang berada dalam PKR.
Awang Teh menegaskan, reformasi bukan sekadar slogan politik, sebaliknya memerlukan keberanian untuk menegakkan keadilan walaupun terhadap diri sendiri.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L