PuTERA35 Capai 64.6 Peratus Pelaksanaan, 160 Program Berjaya Direalisasikan

Oleh NurFarhana Zulkeply

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) mencatat kemajuan sebanyak 64.6 peratus setakat ini dengan 160 daripada 493 program yang dirancang berjaya dilaksanakan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, perkembangan itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang dipengerusikan Perdana Menteri bagi meneliti kemajuan pelaksanaan PuTERA35 serta beberapa agenda strategik berkaitan pembangunan Bumiputera.

Menurut Zahid, pencapaian tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan agenda pembangunan Bumiputera diterjemahkan kepada hasil yang nyata dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Sehingga kini pelaksanaan PuTERA35 telah mencapai 64.6 peratus dengan 160 daripada 493 program yang dirancang berjaya dilaksanakan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Selain menilai kemajuan pelaksanaan pelan tersebut, mesyuarat berkenaan turut meneliti beberapa resolusi yang dikemukakan menerusi Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 yang berlangsung pada 1 Mei lalu.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk cadangan penubuhan Majlis Tahfiz Negara sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh agenda pembangunan pendidikan Bumiputera.

Zahid berkata, pembangunan ekonomi Bumiputera perlu bergerak seiring dengan pembangunan modal insan bagi memastikan lebih ramai generasi muda memiliki ilmu, kemahiran, nilai dan daya saing untuk menghadapi cabaran masa depan.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha memperkasa pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan bakat serta melahirkan lebih ramai huffaz profesional akan terus diberikan perhatian oleh kerajaan.

Menurutnya, pendekatan bersepadu itu penting bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja mempunyai kecemerlangan akademik, malah mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi, sosial dan kemajuan negara secara menyeluruh.

PuTERA35 merupakan pelan jangka panjang yang dirangka bagi memperkukuh kedudukan ekonomi Bumiputera melalui pelbagai inisiatif melibatkan pendidikan, keusahawanan, pembangunan bakat, pemerkasaan komuniti dan peningkatan kapasiti masyarakat.

Pelan tersebut menjadi antara agenda utama kerajaan dalam usaha memastikan pembangunan Bumiputera dapat dilaksanakan secara lebih mampan dan inklusif sejajar dengan aspirasi pembangunan negara menjelang tahun 2035.

NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.        

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *