Oleh: Bazli Razak
JERTEH – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membantu seorang anak pemandu lori dari keluarga berpendapatan rendah melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi apabila menyalurkan bantuan kewangan serta mengadakan ziarah kebajikan menjelang pendaftaran beliau sebagai pelajar baharu universiti itu.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata universiti itu sentiasa komited membantu mahasiswa khususnya mereka yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah agar kekangan ekonomi tidak menjadi penghalang untuk melanjutkan pelajaran.
“Setiap pelajar yang berjaya melangkah ke universiti mempunyai kisah perjuangan tersendiri. UPSI bukan sahaja menyediakan peluang pendidikan berkualiti, malah berusaha memastikan kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa sentiasa terpelihara agar mereka dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pengajian.
“Kejayaan Nur Athirah sebagai anak sulung yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti merupakan satu pencapaian yang membanggakan dan wajar dijadikan inspirasi kepada generasi muda lain untuk terus berusaha mengubah masa depan keluarga melalui pendidikan,” katanya ketika mengadakan ziarah kebajikan ke kediaman Nur Athirah Ismail di Kampung Raja di sini, hari ini.
Nur Athirah, 18, berjaya memperoleh tawaran mengikuti Program Diploma Pengajian Turath Islami di UPSI bagi Sesi Akademik 2026/2027 dan dijadual mendaftar di kampus Tanjong Malim pada 9 Jun ini.

Beliau yang merupakan anak sulung daripada lima beradik menjadi individu pertama dalam keluarganya yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Bapanya, Ismail Ibrahim, 51, bekerja sebagai pemandu lori di sebuah kedai perkakasan dengan pendapatan bulanan sekitar RM2,736 yang menjadi sumber utama pendapatan keluarga bagi menampung keperluan tujuh ahli keluarga termasuk empat orang anak yang masih bersekolah.
Sebagai persediaan memasuki universiti, Nur Athirah turut menerima Skim Bantuan Khas Kemasukan Semester Satu berjumlah RM1,500 yang diluluskan oleh Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI bagi membantu menampung kos pendaftaran dan keperluan awal pengajian.
“UPSI akan terus memperkukuh agenda kebajikan mahasiswa menerusi pelbagai inisiatif termasuk bantuan kewangan, zakat, endowmen dan jaringan kerjasama strategik bagi memastikan tiada pelajar tercicir daripada meneruskan pengajian disebabkan kekangan ekonomi,” ujar beliau.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L