MELAKA – Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar, hari ini ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 dalam satu majlis yang diadakan di sebuah resort di Melaka.
Majlis penabalan itu berlangsung dalam suasana sederhana dan disempurnakan oleh Undang Yang Empat menerusi satu pengisytiharan rasmi yang dibacakan oleh Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad yang mewakili institusi Undang Yang Empat.
Dalam pengisytiharan tersebut, beliau memaklumkan pemilihan dan pemasyhuran Tunku Nadzaruddin dibuat selaras dengan Perkara 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta keputusan yang telah diumumkan oleh Undang Yang Empat pada 19 April lalu.
“Bahawasanya selaras dengan Perkara 11 Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan 1959, kami Yang Teramat Mulia Undang Yang Empat dengan kuasa yang ada pada kami memilih dan memasyhurkan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 berkuat kuasa serta-merta,” katanya ketika membacakan pengisytiharan berkenaan.
Sebaik pengisytiharan selesai dibacakan, Tunku Nadzaruddin menyampaikan titah ringkas dengan menzahirkan penghargaan kepada Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Datuk Syahbandar Sungai Ujong atas kepercayaan yang diberikan kepada baginda.
“Bahawasanya beta, Tuanku Nadzaruddin Tuanku Jaafar, menjunjung kasih kepada Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin dan Datuk Syahbandar Sungai Ujong atas pemilihan dan pemasyhuran beta sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12,” titah baginda.
Majlis itu kemudian diteruskan dengan bacaan doa dan diakhiri dengan laungan “Daulat Tuanku” oleh para hadirin yang hadir.
Antara yang turut menghadiri majlis berkenaan ialah tokoh politik veteran, Tan Sri Rais Yatim yang juga dikenali sebagai pengkaji Adat Perpatih serta pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan pada awal 1980-an.
Penabalan Tunku Nadzaruddin dijangka menambah perhatian terhadap kemelut institusi pemerintahan Negeri Sembilan yang tercetus sejak beberapa bulan lalu susulan pertikaian berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Pada April lalu, empat individu yang mendakwa mewakili Undang Yang Empat mengumumkan bahawa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah dilucutkan daripada jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin sebagai pemerintah baharu negeri itu.
Pengisytiharan tersebut dibuat dengan alasan bahawa Undang Yang Empat mempunyai kuasa untuk memilih dan memasyhurkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan berdasarkan amalan adat dan peruntukan yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri.
Bagaimanapun, pengumuman itu tidak diiktiraf oleh kerajaan negeri.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini menegaskan bahawa kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan kekal sah dan tidak terjejas.
Menurut beliau, pengisytiharan yang dibuat pada April lalu tidak mempunyai kesan perundangan kerana salah seorang individu yang terlibat dalam pengisytiharan tersebut, iaitu Mubarak Dohak yang mendakwa sebagai Undang Luak Sungai Ujong, tidak diiktiraf oleh kerajaan negeri sebagai Undang yang sah.
Kerajaan Negeri Sembilan juga menegaskan bahawa Tuanku Muhriz masih merupakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah mengikut undang-undang dan perlembagaan negeri.
Dengan berlangsungnya majlis penabalan Tunku Nadzaruddin hari ini, perhatian kini tertumpu kepada perkembangan seterusnya dalam kemelut yang melibatkan institusi pemerintahan Negeri Sembilan.
Setakat ini, belum ada sebarang perubahan pada kedudukan rasmi yang diiktiraf oleh kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan, manakala Tuanku Muhriz terus menjalankan fungsi sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Perkembangan terbaharu itu dijangka terus menjadi perhatian masyarakat serta pemerhati politik dan perundangan memandangkan ia melibatkan institusi adat, perlembagaan negeri dan sistem pemerintahan tradisional yang menjadi asas unik Negeri Sembilan sejak sekian lama.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L