Terengganu Tempah Tiket Suku Akhir Dengan Rekod Tanpa Kalah Tewaskan Juara Bertahan

KUALA LUMPUR – Status sebagai pasukan bukan pilihan tidak menghalang Terengganu daripada mencipta kejutan apabila menamatkan saingan peringkat kumpulan Kejuaraan Ragbi Piala Agong edisi ke-42 musim ini dengan rekod tanpa kalah, sekali gus mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir yang dijadual bermula 13 Jun ini.

Pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan, skuad Pantai Timur itu yang turun selaku pelawat mempamerkan semangat juang tinggi apabila menundukkan juara bertahan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), 26-25 dalam aksi dramatik di padang PULAPOL, Kuala Lumpur.

Terengganu terpaksa bangkit daripada ketinggalan 13-15 pada separuh masa pertama yang memihak kepada tuan rumah, sekali gus memaksa ketua jurulatih, Hafiizh Zainal melakukan rombakan taktikal termasuk beberapa pertukaran pemain bagi mengubah momentum permainan.

Percaturan itu mula membuahkan hasil seawal babak kedua apabila Terengganu merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-43. Namun, PDRM kembali di hadapan 20-16 lima minit kemudian hasil jatuhan try.

Kesilapan yang dilakukan pasukan tuan rumah kemudiannya dimanfaatkan sepenuhnya oleh Terengganu untuk bangkit menguasai permainan sebelum mendahului 26-20, sekali gus meletakkan tekanan kepada penyandang juara itu.

PDRM cuba bangkit di penghujung permainan dan berjaya menambah lima mata menerusi try pada minit ke-73 untuk merapatkan jurang kepada 26-25, namun kekentalan pertahanan Terengganu memastikan keputusan kekal hingga wisel penamat.

Kemenangan tipis itu menyaksikan Terengganu menutup kempen kumpulan dengan rekod sempurna, selain mengekalkan status tanpa kalah walaupun diasak hebat di saat-saat akhir perlawanan.

“Secara realistik, laluan musim ini lebih mencabar berbanding tahun lalu dengan setiap perlawanan menyaksikan perbezaan mata yang sangat kecil, lebih-lebih lagi apabila berdepan juara bertahan hari ini. Namun keputusan ini amat penting sebagai bekalan ke suku akhir,” kata Hafiizh.

Beliau berkata, aksi suku akhir bakal membuka lembaran baharu buat pasukannya dan mereka perlu menilai semula strategi selepas semua perlawanan kumpulan selesai.

“Kami datang sebagai pasukan bukan pilihan, jadi agak sukar untuk meletakkan sasaran awal. Fokus utama adalah memberi saingan terbaik dalam setiap perlawanan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mencatat kemenangan tipis 27-24 ke atas Kedah pada aksi yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok. Sementara itu, perlawanan antara Johor dan Negeri Sembilan di Stadium Pasir Gudang dijadual berlangsung pada Ahad, jam 3.30 petang.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *