Ulu al-Albab: Golongan Yang Dipuji Allah SWT

Oleh: Profesor Dr. Mohd Radhi Ibrahim

GOLONGAN Ulu al-Albab merupakan satu kumpulan manusia yang sering disebut oleh Allah SWT di dalam al-Quran. Cerita berkenaan mereka telah sebut oleh Allah SWT dalam al-Quran sebanyak 16 kali dalam 10 surah yang berbeza.

Golongan tersebut digambarkan sebagai golongan yang menggunakan akal fikiran secara baik untuk mengambil pengajaran daripada panduan yang diberikan oleh Allah SWT. 

Panduan tersebut diperoleh melalui penelitian (tadabbur) terhadap ayat-ayat al-Quran serta pemerhatian terhadap kejadian alam ciptaan Allah SWT.

Antara sifat golongan ini ialah sentiasa mengingati Allah SWT disetiap ketika. Mereka juga sentiasa berfikir berkenaan kejadian langit dan bumi serta makhluk Allah SWT seluruhnya. Melalui penelitian tersebut mereka melihat tanda-tanda kewujudan, keesaan dan keagongan Allah SWT.

Golongan yang berakal

Dalam hal ini Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi golongan yang berakal (Ulu al-Albab). (Iaitu) Golongan yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri, duduk dan berbaring. Dan mereka memikirkan kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka (Al-Imran: 190-191).

Daripada ayat ini, kita dapat melihat pendekatan yang digunakan oleh Ulu al-Albab dalam mengintegrasikan ilmu yang diperoleh dari penelitian terhadap alam ini dengan keimanan dan ingatan yang berterusan kepada Allah SWT di setiap ketika.

Kajian yang dilakukan terhadap langit, bumi, dan apa yang ada di antara keduanya boleh menjadi perantara (wasilah) bagi golongan beriman untuk melihat tanda-tanda kewujudan, keesaan, dan keagungan Allah SWT.

Alam dan manusia

Dalam konteks semasa, boleh dikatakan bahawa apabila para pelajar Muslim mempelajari subjek sains seperti fizik, kimia dan biologi serta disiplin ilmu yang berkaitan dengan alam dan manusia seperti perubatan, kejuruteraan dan astronomi.

Mereka boleh mengaitkannya dengan tanda keagungan Allah SWT. Hal ini kerana kesemua ilmu tersebut terhasil daripada pemerhatian terhadap alam ciptaan Tuhan.

Golongan Ulu al-Albab juga sedar tentang perintah Allah SWT agar manusia menggunakan akal yang Dia anugerahkan kepada mereka untuk melihat tanda kekuasaan Allah SWT melalui alam ini dan melalui diri mereka sendiri.

Mereka mengambil pengajaran dari firman Allah dalam surah Fussilat yang bermaksud:

“Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami pada alam (yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu (Fussilat:53).”

Panduan daripada dua ayat di atas menunjukkan betapa kejadian alam ciptaan Allah SWT merupakan wasilah yang perlu digunakan oleh golongan beriman untuk lebih mengenal tanda-tanda kewujudan, keesaan dan keagungan Allah SWT.

Perkara tersebut telah ditunjukkan oleh Allah SWT melalui pendekatan yang diamalkan oleh golongan Ulu al-Albab dalam al-Quran al-Karim.

Kurikulum pendidikan Islam

Metodologi yang digunakan oleh Ulu al-Albab ini sesuai dimasukkan ke dalam kurikulum pendidikan Islam di sekolah. Ia bagi menunjukkan betapa mempelajari dan berfikir berkenaan alam ini melalui subjek sains seperti fizik, kimia dan biologi adalah sebahagian daripada amalan yang dipuji oleh Allah SWT.

Melaksanakan perkara tersebut dengan niat mentaati perintah-Nya merupakan satu ibadah, kerana ia satu ketaatan kepada Allah SWT.

Apabila pelajar meneliti ilmu tersebut, mereka akan dapat melihat ketelitian sistem ciptaan Allah SWT yang ada dalam alam ini. Perkara tersebut akan melahirkan rasa kagum terhadap pencipta alam ini iaitu Allah SWT. 

Perasaan tersebut akan dinyatakan melalui lidahnya dengan lafaz Subhanallah, Maha Suci Allah, lalu dia meminta perlindungan dari Allah SWT daripada seksaan neraka di akhirat kelak.

Perkara inilah yang menjadikan gologan Ulu al-Albab dipuji oleh Allah SWT. Mereka menghubungkan alam ini dan sistemnya yang teliti dengan Allah SWT melalui penelitan deria dan akal.

Seterusnya, mengintegrasikan ilmu berkaitan makhluk ciptaan Allah SWT dengan keimanan dan keyakinan terhadap keagongan Allah SWT.

Semoga metodologi Ulu al-Albab yang dipuji oleh Allah SWT dapat dijadikan panduan dalam membina kurikulum pendidikan yang dapat membentuk jiwa generasi muda untuk menjadikan ilmu sains yang dipelajar di kelas dan makmal sebagai perantara untuk melihat tanda kewujudan, keesaan dan keagungan Allah SWT.

Profesor Dr. Mohd Radhi Ibrahim merupakan Profesor Program Akidah dan Kajian Agama, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Unversiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *