Rakyat Malaysia ditahan cuba seludup lebih 250 haiwan liar hidup dalam bagasi

BANGKOK – Pihak berkuasa Thailand menahan seorang lelaki warga Malaysia di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, di sini, kerana disyaki cuba menyeludup lebih 250 haiwan liar hidup ke India.

Dalam operasi Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan bersama beberapa agensi penguat kuasa pada 24 Mei lalu, suspek berusia 34 tahun itu ditahan sekitar jam 3.45 pagi berhampiran pintu F3, Zon 3 terminal pelepasan antarabangsa lapangan terbang berkenaan.

Menurut pihak berkuasa Thailand, suspek dijadualkan menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Suvarnabhumi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Netaji Subhas Chandra Bose di Kolkata, India.

“Hasil pemeriksaan terhadap bagasi daftar masuknya menemui haiwan hidup yang disembunyikan di dalam sebuah beg beroda.

“Ia termasuk dua enggang gading, ‘patagonia mara’ (dua), iguana (62), biawak (lima), mengkarung berlidah biru (100) dan penyu air tawar (80),” kata pihak berkuasa Thailand dalam satu kenyataan.

Menurut pihak berkuasa, suspek didakwa mengikut Akta Pemeliharaan dan Perlindungan Hidupan Liar 2019, Akta Kastam 2017, Akta Wabak Haiwan 2015 dan Ordinan Diraja Perikanan 2015.

Dia kemudian diserahkan kepada penyiasat di Balai Polis Lapangan Terbang Suvarnabhumi untuk tindakan lanjut.

Haiwan dirampas pula diserahkan kepada pihak berkuasa hidupan liar dan perikanan untuk penjagaan, pengenalpastian spesies, serta dijadikan bahan bukti dalam siasatan yang sedang dijalankan.

Pihak berkuasa turut memperluaskan siasatan bagi mengenal pasti individu lain disyaki ada kaitan dengan sindiket penyeludupan itu. – BERNAMA

Telegram 

Facebook 

TikTok

Whatsapp 

Iklanadmin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *