Oleh: Rudy Sham Abdul Raof
PEPATAH lama pernah bersuara ‘seorang ibu boleh menjaga 10 anak, namun seorang anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu’ – kiasan ini sering menjadi bahan kata-kata untuk menilai diri setiap insan yang bergelar anak sama ada ia benar atau sebaliknya.
Mungkin perkara ini berlaku di kalangan masyarakat, namun ada juga diabaikan sekali gus menjadi semangat buat anak-anak yang berjaya atau tidak, mereka akan tetap melaksanakan tanggungjawab dalam membalas jasa dan kasih sayang ibu bapa mereka hingga akhir hayat.
Namun tidak dinafikan bahawa ada anak-anak yang berjaya dalam kehidupan amat sukar menjaga ibu bapa sepanjang masa kerana kekangan kerja yang membataskan masa untuk mereka sentiasa berada di sisi.
Di sinilah kadang-kadang konflik keluarga berlaku, yang berjaya hanya tahu menghulurkan sumbangan setiap bulan – yang kurang berjaya diminta menjaga ‘orang tua’ mereka, sehinggakan tiada lagi kasih sayang setiap anak terhadap insan yang menjadi nadi kehidupan mereka sebelum berkerjaya.
Tanggungjawab dan keterpaksaan menjadi batasan setiap insan bergelar anak. Mana yang lebih penting, kerjaya, keluarga sendiri atau ibu bapa yang sudah senja. Dilema sebegini menyaksikan konflik keluarga tidak akan berakhir tanpa ada muafakat atau keprihatinan dalam diri masing-masing.
Ada juga anak-anak yang ditugaskan jauh di perantauan sehingga tiada langsung masa untuk menjenguk ibu bapa di kampung kerana kekangan daripada majikan. Adakah ia satu kesalahan mereka?
Ironinya, kesepakatan adik beradik amat penting untuk menjaga hati seorang insan yang tidak pernah jemu menjaga kita siang malam, menghayun buaian kita tanpa rasa letih, mengeluarkan keringat ‘jantan’ untuk memelihara kita sehingga berjaya.
Di sinilah akal yang dipinjamkan Allah SWT buat setiap insan ditagih, bagaimana untuk mengatasi pemasalahan sebegini?
Penghormatan seharusnya diberikan kepada pengasas Madrasah Ibnu Mas’ud (MIM) kerana membuka ruang seluas-luasnya untuk menyediakan asas terbaik buat insan yang banyak berjasa kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arasy Masut menjelaskan MIM berusaha menjadi penaraju dan sentiasa meneroka sempadan baharu dalam merealisasikan persaraan yang bermakna.
Menurut beliau, MIM mengambil pendekatan menawarkan kehidupan persaraan bertaraf dunia dengan menyediakan perkhidmatan yang sentiasa melebihi jangkaan.
“Kami juga mencetukan idea yang mengubah kebiasaan serta memberi inspirasi. Mengilap, menyokong dan mengembangkan potensi setiap individu dalam pasukan serta komited dengan 100 peratus tenaga, fokus dan semangat daka setiap yang dilakukan,” katanya.
Beliau yang dibantu isterinya Dr Mashitah Abdul Mutalib lulusan dalam jurusan undang-undang menggariskan pendekatan moden dan profesional dalam pengurusannya bagi memastikan MIM keluar daripada stigma ‘pondok’ yang konvensional.

“Gabungan idea baru pengurusan yang diterajui orang muda menjadikan MIM lebih efisien. Jalinan antara nilai tradisi pondok dan pendekatan moden menjadikan Madrasah ini sebagai contoh ideal pondok warga emas masa kini yang relevannn dan progresif,” kata Arasy yang juga seorang lulusan Sarjana Hukum dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Beliau yang ditemui ketika kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Dr Kamaruzzaman Mohd Ali dan isteri Dr Norhayati Karno yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Urkeed Holdings Sdn Bhd – pakar dalam bidang kemahiran penjagaan warga emas dan kanak-kanak.
Jelas Arasy, MIM sentiasa memastikan setiap perancangan aktiviti dan konsep programnya merangkumi lima jenis penuaan yang digariskan dalam Dasar Warga Emas Negara iaitu penuaan sihat, aktif, produktif, positif da menyokong.
“Setiap aspek ini diberi perhatian melalui aktiviti harian seperti tazkirah, riadah ringan, sesi kaunseling, amalan zikir dan pelbagai lagi aktiviti. Pendekatan holistik ini, bukan sahaja menjaga kesihatan fizikal dan mental, malaah ia juga memperkasa aspek spiritual dan sosial dalam kalangan penghuni,” kata Arasy.
Ketika ini, MIM beroperasi di dua pusat iaitu di Segamat, Johor yang dibangunkan di atas tanah berkeluasan tiga ekar – mempunyai 90 unit pondok, kantin, surau dua tingkat dan empat rumah kakitangan.
Sementara di Sungai Mahang, Nilai, Negeri Sembilan pula – MIM dibangunkan di atas tanah berkeluasan satu ekar yang mempunyai 36 unit pondok, tiga unit rumah staf dan sebuah surau.
“Kami juga sedang berusaha menyediakan Kotej Persaraan MIM di Linggi, Negeri Sembilan dan ia bakal dibangunkan dengan konsep perkampungan persaraan. Projek ini bakal memperkasa pondok warga emas sedia ada kepada perkampungan moden,” katanya.
Ditanya mengenai sambutan di kalangan warga emas, Arasy berkata, semangat yang dibawa ibu bapa amat berlainan kerana lebih berasa ketenangan dengan program yang disediakan, terutama keagamaan.
“Pada awalnya, ada anak-anak yang berasa bimbang kerana takut dikatakan tidak mampu menjaga ibu bapa masing-masing. Namun, mereka berasa penjagaan yang disediakan oleh pihak kami, mereka berasa yakin dan ibu bapa amat gembira.
“Bukan semua positif, namun ia banyak memberi impak kebaikan kepada semua pihak terutama golongan bekerjaya yang mahu melihat ibu bapa mereka lebih yakin dan selesa di setiap waktu.
“Kami ada waktu dan cuti yang dikhususkan kepada peserta. Ada juga anak yang hadir untuk membawa mereka bersiar-siar. Inilah amalan yang kami terapkan supaya semangat kekeluargaan sentiasa utuh dari semasa ke semasa,” katanya.
Sementara itu, Dr Kamaruzzaman amat teruja dengan konsep yang dilaksanakan di MIM dan banyak perkara boleh direalisasikan bersama JPK dan agensi yang berkaitan dengan program Kemahiran.
“Saya bangga dan melihat Kemahiran Warga Emas perlu diperluaskan di sini. Kita kena wujudkan konsep lebih efisien dengan menjayakan Program TVET untuk kakitangan MIM dan seluruh perancang program ini,” kata Dr Kamaruzzaman.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L