BERSATU pertahan keputusan parti, gesa Pas hentikan polemik terbuka dalam PN

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tampil memberikan penjelasan terperinci berhubung beberapa isu dibangkitkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sambil menggesa semua parti komponen Perikatan Nasional (PN) menghormati sempadan urusan dalaman masing-masing demi menjaga kestabilan gabungan pembangkang itu.

Dalam kenyataan panjang Biro Politik BERSATU semalam, parti itu menegaskan, sebarang perbezaan pandangan antara parti anggota PN sewajarnya dibincangkan menerusi saluran dalaman serta meja musyawarah, bukan diperdebatkan secara terbuka sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap gabungan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, BERSATU memandang serius beberapa kenyataan Abdul Hadi yang menyentuh pelbagai isu termasuk krisis politik di Negeri Sembilan, pertukaran Menteri Besar Perlis, kekuatan jentera pilihan raya parti serta tindakan disiplin terhadap ahli-ahli BERSATU.

“BERSATU kekal berpegang kepada prinsip musyawarah dan keputusan kolektif yang dipersetujui dalam Majlis Tertinggi PN. Sebarang isu berkaitan hubungan antara parti komponen seharusnya dibincangkan secara tertutup bagi mengelakkan salah faham dan ketegangan yang tidak perlu,” menurut kenyataan itu.

Mengulas krisis politik di Negeri Sembilan, BERSATU menolak dakwaan kononnya parti itu bertindak bersendirian tanpa persetujuan PAS dalam menangani kemelut politik di negeri berkenaan.

Sebaliknya, menurut BERSATU, usaha awal menguruskan isu tersebut dilakukan secara bersama oleh Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Bagaimanapun, selepas UMNO memutuskan untuk terus bersama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan, BERSATU mendakwa pihaknya telah beberapa kali menghubungi Pas bagi mendapatkan pendirian bersama mengenai sokongan PN terhadap 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO.

“Namun, Pas gagal memberikan maklum balas terhadap cadangan supaya PN menarik sokongan kepada ADUN terbabit.

“Malah, kronologi penuh isu itu turut dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Mei lalu dan penjelasan tersebut diterima tanpa sebarang bantahan daripada mana-mana pihak,” katanya.

Dalam isu kemasukan parti baharu ke dalam PN, BERSATU menjelaskan pendirian parti itu ialah memberi keutamaan kepada kerjasama pilihan raya terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan keanggotaan rasmi dalam gabungan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, pendirian tersebut bukan keputusan unilateral BERSATU sebaliknya dipersetujui secara konsensus oleh Majlis Tertinggi PN dalam mesyuarat sama pada 16 Mei lalu.

Katanya, sebuah jawatankuasa khas juga telah dibentuk bagi memperhalusi bentuk kerjasama termasuk pembahagian kerusi pilihan raya antara parti-parti yang terlibat.

“Adalah tidak wajar keputusan Majlis Tertinggi PN dipertikaikan secara terbuka sehingga memberi gambaran seolah-olah terdapat presiden parti tertentu yang mempunyai kuasa veto dalam gabungan ini,” katanya lagi.

BERSATU turut membidas dakwaan bahawa parti itu cuba mengganggu pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui Pas di Kedah dan Kelantan melalui cadangan rombakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri.

Menurut parti itu, tindakan yang diambil terhadap beberapa individu hanyalah berkaitan urusan disiplin dalaman dan dibuat mengikut lunas perlembagaan parti selepas melalui siasatan serta prosiding pendengaran oleh Lembaga Disiplin.

“Apabila seseorang tidak lagi menjadi ahli parti susulan tindakan disiplin, maka BERSATU berhak mencadangkan pengganti bagi jawatan yang disandang atas kapasiti sebagai ahli parti,” jelas kenyataan itu.

BERSATU turut memaklumkan bahawa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menerusi surat bertarikh 7 Mei 2026 telah mengesahkan tindakan disiplin yang diambil adalah selaras dengan perlembagaan parti.

Sehubungan itu, parti berkenaan menegaskan Pas tidak seharusnya mencampuri urusan disiplin parti anggota lain dalam PN kerana setiap parti mempunyai autonomi serta prosedur tersendiri.

Dalam pada itu, BERSATU turut menjawab kritikan berkaitan dakwaan parti itu mempunyai ramai calon pilihan raya tetapi lemah dari sudut jentera akar umbi.

Menurut kenyataan tersebut, kekuatan BERSATU bukan hanya bergantung kepada jentera semata-mata, sebaliknya turut disokong oleh pertambahan keahlian baharu, pengalaman kepimpinan parti dan jenama politik yang masih mendapat tempat dalam kalangan rakyat.

“Peningkatan sokongan terhadap calon-calon BERSATU dan PN membuktikan parti ini masih mempunyai pengaruh serta keyakinan rakyat,” katanya.

Menyentuh isu pelantikan Menteri Besar Perlis yang turut dibangkitkan Presiden Pas, BERSATU menegaskan perkara itu berada di bawah kuasa budi bicara Raja Perlis dan tidak sewajarnya terus dipolemikkan.

Menurut kenyataan itu, Raja Perlis sebelum ini telah memberi ruang secukupnya kepada Pas bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri berkenaan termasuk menitahkan Presiden BERSATU dan Presiden Pas menghadap baginda pada 25 Oktober 2025.

“Presiden BERSATU telah menyatakan kesediaan untuk menghadap, namun sesi tersebut dibatalkan kerana Presiden Pas tidak dapat hadir atas sebab tertentu,” katanya.

BERSATU turut menolak dakwaan bahawa parti itu mengkhianati Pas atau mengarahkan ADUN BERSATU menarik sokongan terhadap Menteri Besar daripada Pas.

Sebaliknya, parti itu menegaskan segala tindakan yang diambil sepanjang krisis politik Perlis dibuat dengan menjunjung titah Raja Perlis serta menghormati peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Menurut BERSATU, parti itu kekal komited mempertahankan kesatuan PN namun semua pihak perlu menghormati keputusan bersama dan mengelakkan kenyataan terbuka yang boleh menjejaskan kestabilan serta keyakinan rakyat terhadap gabungan tersebut.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *