New Balance 3 dan Balance Ultra – ekosistem pintar baharu dari Amazfit

KUALA LUMPUR – Gelombang gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia kini beralih kepada trend kecergasan hibrid yang memerlukan sistem pemantauan pintar.

Menyedari keperluan komuniti pasaran tempatan yang semakin berkembang ini, jenama peranti boleh pakai global terkemuka, Amazfit telah melancarkan ekosistem Latihan Hibridnya secara rasmi di Malaysia.

Ekosistem inovatif berkenaan dikuasakan oleh jam tangan pintar baharu iaitu Amazfit Balance 3 dan Amazfit Balance Ultra.

Peranti ini menggabungkan penjejakan prestasi lanjutan, panduan latihan pintar, dan berfungsi sebagai peranti HYROX rasmi bagi membantu atlet berlatih merentasi pelbagai disiplin.

Bagi menyokong gaya hidup aktif pengguna, ekosistem Amazfit Hybrid Training ini membolehkan kecerdasan daripada Aplikasi Zepp disepadukan sepenuhnya dengan siri Balance.

Melalui proses mengubah data menjadi pandangan yang bermakna, ekosistem berkenaan membantu pengguna untuk membuat keputusan latihan yang lebih bijak serta meningkatkan prestasi jangka panjang.

Mengulas mengenai inovasi berkenaan, Pengurus Pemasaran Amazfit Malaysia, Karmun Chow berkata, masyarakat pada masa kini berdepan pelbagai cabaran untuk menyusun rutin kesihatan harian mereka secara optimum.

“Atlet dan individu aktif hari ini mengimbangi latihan kekuatan, latihan ketahanan, pemulihan dan tanggungjawab harian sekaligus,” jelas Karmun.

Beliau turut menambah, siri Balance dicipta untuk membantu pengguna memahami bagaimana elemen-elemen ini berfungsi bersama, membolehkan mereka berlatih dengan lebih bijak, pulih dengan lebih baik dan berprestasi pada potensi penuh mereka.

Salah satu daya tarikan teknologi utama di sebalik siri pintar berkenaan adalah HybridCharge Energy Intelligence.

Inovasi perisian ini bertindak dengan menggabungkan metrik seperti BioCharge, LifeLoad dan Training Load bagi memberikan satu pandangan bersepadu mengenai tahap kapasiti dan kesediaan fizikal pengguna.

Rangkaian peranti ini menampilkan Balance Ultra sebagai model utama yang dibina menggunakan titanium Gred 5 dengan reka bentuk premium yang mampu beralih dengan lancar antara keperluan latihan, kerja dan gaya hidup seharian.

Sementara itu, model Balance 3 yang ditawarkan dalam pilihan keluli tahan karat atau titanium disasarkan kepada atlet hibrid harian yang memerlukan jam tangan serba boleh untuk gimnasium dan juga larian.

Pengenalan peranti terbaharu berkenaan telah diadakan di The Backyard Training di Petaling Jaya, yang merupakan salah satu tempat latihan kecergasan HYROX dan hibrid terkemuka di Malaysia.

Acara pelancaran berkenaan turut menyaksikan pengumuman penganjuran Bengkel HYROX Kelab Komuniti Amazfit MY, selari dengan komitmen jangka panjang Amazfit untuk terus memperluas peluang pembangunan untuk atlet dari semua peringkat di negara ini.

Selaku rakan kongsi rasmi HYROX yang boleh dipakai, peranti pintar berkenaan menawarkan sokongan alatan perlumbaan khusus termasuk HYROX Virtual Pace, pelan latihan hibrid dan simulasi perlumbaan.

Menariknya, ia turut menawarkan analisis pasca perlumbaan terperinci yang merangkumi prestasi stesen, kadar rentak, serta catatan masa perlumbaan kumulatif.

Spesifikasi teknikal kedua-dua model berkenaan disokong oleh penggunaan paparan AMOLED bersaiz 1.5 inci yang dilindungi kaca nilam, dan didatangkan dengan tahap kecerahan mencecah 3,000-nit.

Keupayaan prestasinya turut disokong oleh sistem GPS dwi-jalur dengan kedudukan enam satelit, pemantauan kesihatan lanjutan berterusan, panggilan Bluetooth, serta pengesanan automatik untuk 25 jenis senaman kekuatan.

Memahami rutin harian rakyat Malaysia yang padat dengan pelbagai komitmen, siri berkenaan mengutamakan aspek ketahanan apabila membekalkan jangka hayat bateri yang luar biasa untuk perantinya.

Pengguna yang menggunakan jam tangan pintar Balance 3 dijangka menikmati kapasiti bateri yang bertahan sehingga 21 hari, manakala varian Balance Ultra berkeupayaan menampung penggunaan sehingga 30 hari tanpa cas.

Bagi pasaran di Malaysia, varian Amazfit Balance 3 Keluli Tahan Karat ditawarkan pada harga pelancaran RM1499, manakala Amazfit Balance Ultra ditetapkan pada RM2349, dengan kedua-duanya telah mula tersedia untuk pasaran tempatan pada bulan ini.

Pengguna boleh memiliki inovasi pintar berkenaan melalui rangkaian kedai rasmi Amazfit Malaysia serta pengedar dan rakan kongsi runcit terpilih di seluruh negara.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *