SUBANG JAYA – Senheng New Retail Bhd melancarkan platform penyesuaian rumah baharu, Senheng Home Customisation, sekali gus memperluas perniagaannya daripada peruncitan barangan elektronik pengguna kepada ekosistem gaya hidup dan kediaman.
Pelancaran itu dibuat sempena pembukaan rasmi gedung konsep baharu senQ di EasyHome Mall yang turut menampilkan laluan penebusan S-Coin sepanjang 100 kaki sebagai tarikan utama kepada pelanggan.
Gedung konsep berkenaan menawarkan pengalaman beli-belah lebih interaktif menerusi paparan televisyen 116 inci 4K RGB Mini-LED UX Series, zon pengalaman kediaman, paparan bahan kemasan serta ruang inspirasi dapur dan ruang tamu.
Bersempena pembukaan rasmi itu, pelanggan turut ditawarkan pulangan sehingga 100 peratus S-Coin bagi lebih 1,500 produk terpilih merangkumi peralatan rumah, perabot dan produk gaya hidup sepanjang kempen tiga hari bermula 22 hingga 24 Mei 2026.
Pengarah Urusan Senheng, Lim Kim Heng, berkata syarikat melihat peluang besar dalam segmen kelengkapan rumah kerana pelanggan kebiasaannya membuat keputusan berkaitan reka bentuk dan perabot lebih awal sebelum membeli peralatan elektrik.
“Pelancaran Senheng Home Customisation membolehkan kami membantu pelanggan daripada perancangan sehingga proses melengkapkan rumah.
“Pelanggan juga boleh menikmati perkhidmatan reka bentuk profesional selain pengalaman sentuh dan rasa di kedai kami,” katanya pada majlis pelancaran di sini, hari ini.
Platform Senheng Home Customisation menawarkan penyelesaian sehenti yang merangkumi visualisasi reka bentuk dalaman, kabinet, pencahayaan, perabot, kelengkapan rumah serta peralatan elektrik.
Ia turut disokong keupayaan visualisasi reka bentuk 3D oleh HAME Malaysia yang membolehkan pelanggan menghasilkan reka bentuk tersuai dalam tempoh seawal 30 minit sebelum keputusan pembelian dibuat.

Senheng Home Customisation turut menyediakan pengurusan projek, penjejakan pesanan, penyelarasan penghantaran dan pemasangan serta perkhidmatan selepas jualan bagi memastikan pengalaman pelanggan lebih lancar dan tersusun.
“Menurut penilaian pasaran dalaman kumpulan, segmen kabinet dapur dan perabot berkaitan mempunyai potensi pasaran yang besar di Malaysia, disokong pertumbuhan transaksi hartanah kediaman serta permintaan berterusan terhadap pengubahsuaian dan kelengkapan rumah baharu,” katanya.
Bagi menggalakkan penggunaan platform itu, 100 pelanggan pertama bagi pembelian unit perabot serta 30 pelanggan pertama bagi kabinet akan menerima pulangan 100 peratus S-Coin sepanjang tempoh pelancaran.
Selepas tamat kempen berkenaan, Senheng Home Customisation akan terus menawarkan pulangan standard sebanyak 50 peratus S-Coin kepada pelanggan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L