Malaysia, Indonesia dan Singapura Sambut Aidiladha Serentak 27 Mei, Thailand Sehari Lewat

KUALA LUMPUR – Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada Rabu, 27 Mei ini bersamaan 10 Zulhijah 1447 Hijrah selepas tarikh permulaan bulan Zulhijah dipersetujui berdasarkan cerapan anak bulan yang dilakukan di seluruh negara.

Pengumuman rasmi itu dibuat oleh Majlis Raja-Raja menerusi Pemangku Penolong Setiausaha majlis berkenaan, Muhammad Affendi Jalaludin dalam siaran langsung di televisyen nasional malam tadi.

Menurut beliau, pengisytiharan tersebut dibuat bagi menyempurnakan titah Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat perkenan Raja-Raja Melayu.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka saya bagi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1447 Hijrah ialah pada 18 Mei 2026.

“Oleh yang demikian, Hari Raya Aidiladha bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Rabu, 27 Mei 2026,” katanya.

Terdahulu, proses melihat anak bulan Zulhijah dijalankan di 29 lokasi rasmi di seluruh negara pada petang semalam bagi menentukan permulaan bulan Islam tersebut.

Di Indonesia, kerajaan republik itu turut mengumumkan sambutan Hari Raya Aidiladha jatuh pada 27 Mei selepas hasil cerapan dan pengiraan astronomi memenuhi syarat yang ditetapkan.

Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia, Nasaruddin Umar berkata, keputusan itu dibuat menerusi sesi isbat yang berlangsung di Jakarta melibatkan pemerhatian hilal di 88 lokasi di seluruh negara.

Beliau berkata, anak bulan Zulhijah telah memenuhi kriteria yang dipersetujui negara anggota MABIMS iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura.

“Berdasarkan hasil pengiraan dan laporan penampakan bulan, dipersetujui bahawa 1 Zulhijah 1447 Hijrah jatuh pada Isnin, 18 Mei 2026.

“Justeru, Hari Raya Aidiladha akan disambut pada Rabu, 27 Mei 2026,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi platform YouTube pada Ahad.

Sesi isbat merupakan mekanisme rasmi kerajaan Indonesia bagi menentukan permulaan bulan Islam dengan melibatkan ulama, pakar astronomi, pertubuhan Islam dan agensi berkaitan.

Sementara itu di Singapore, Mufti republik itu, Nazirudin Mohd Nasir memaklumkan, berdasarkan pengiraan astronomi, anak bulan Zulhijah masih berada di atas ufuk negara berkenaan selepas matahari terbenam pada Ahad.

Katanya, keadaan itu menandakan bulan Zulkaedah berakhir pada Ahad dan permulaan Zulhijah bermula Isnin, sekali gus menetapkan Aidiladha pada 27 Mei.

“Oleh itu, bulan Zulhijah 1447 Hijrah akan bermula pada hari Isnin, 18 Mei 2026 dan Hari Raya Aidiladha jatuh pada Rabu, 27 Mei 2026,” katanya dalam satu kenyataan.

Berbeza dengan negara jiran Thailand, umat Islam di negara itu akan menyambut Aidiladha sehari lebih lewat iaitu Khamis, 28 Mei.

Pengumuman itu dibuat oleh Sheikhul Islam Thailand, Arun Boonchom selepas anak bulan Zulhijah gagal dilihat di beberapa kawasan negara itu berikutan cuaca mendung dan hujan.

“Anak bulan tidak kelihatan selepas matahari terbenam, maka 1 Zulhijah 1447 Hijrah jatuh pada 19 Mei dan Hari Raya Aidiladha disambut pada Khamis, 28 Mei,” katanya menerusi siaran langsung di televisyen, radio dan media sosial rasmi negara itu.

Thailand mempunyai kira-kira 10 juta penduduk Islam dengan majoriti komuniti Muslim tertumpu di wilayah selatan seperti Pattani, Yala dan Narathiwat.

Dengan pengumuman rasmi tarikh Aidiladha itu, umat Islam di Malaysia dan beberapa negara jiran kini mula membuat pelbagai persiapan termasuk ibadah korban, perjalanan pulang ke kampung serta persiapan menyambut ketibaan jemaah haji di Tanah Suci.

Aidiladha yang juga dikenali sebagai Hari Raya Korban merupakan antara perayaan terbesar umat Islam dan disambut bagi memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim AS serta ketaatan baginda kepada perintah Allah SWT.

Top of Form

Bottom of Form

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *