DUPP Tegur Nik Zawawi, Mahu Pemimpin Politik Lebih Beradab Bahas Sejarah Sahabat Nabi

KUALA LUMPUR – Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) menegaskan sebarang perbahasan berkaitan sejarah dan keperibadian para Sahabat Rasulullah SAW perlu dilakukan secara penuh adab, cermat dan berpandukan sumber sahih bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam.

Teguran itu dibuat susulan kontroversi melibatkan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh selepas beberapa kenyataannya dalam satu ceramah tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi masyarakat.

Ketua Penerangan DUPP, Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya mengakui Nik Muhammad Zawawi mungkin merujuk kepada pandangan atau huraian tertentu ketika menyampaikan ceramah berkenaan, namun pendekatan dan cara penyampaian melibatkan tokoh besar Islam seharusnya dibuat dengan lebih berhati-hati.

Menurut beliau, para Sahabat Nabi SAW mempunyai kedudukan yang sangat tinggi dalam Islam dan menjadi generasi contoh kepada umat Islam sepanjang zaman.

“Sebarang huraian berkaitan sejarah dan keperibadian mereka, khususnya kehidupan mereka pada zaman Jahiliyyah, hendaklah disampaikan secara tepat, beradab serta berpandukan disiplin ilmu yang sahih.

“Perkara melibatkan maruah dan kedudukan para sahabat tidak boleh dijadikan bahan ceramah secara longgar atau disampaikan tanpa penjelasan yang lengkap kerana ia boleh menimbulkan salah faham kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, DUPP juga telah memberikan teguran serta peringatan secara dalaman kepada Nik Muhammad Zawawi agar lebih berhati-hati ketika menyentuh isu sejarah Islam, terutama melibatkan tokoh-tokoh besar yang dimuliakan umat Islam.

“Kita telah menegur dan memberi nasihat supaya beliau lebih cermat dalam menyampaikan fakta sejarah Islam, khususnya perkara yang menyentuh kemuliaan dan kedudukan Sahabat Rasulullah SAW,” katanya.

Kontroversi itu tercetus selepas tular beberapa rakaman video ceramah politik yang memaparkan Nik Muhammad Zawawi menyentuh latar kehidupan Saidina Abu Bakar al-Siddiq dan Saidina Umar al-Khattab sebelum kedatangan Islam.

Antara kenyataan yang menjadi perhatian ramai termasuk dakwaan menggambarkan Saidina Abu Bakar sebagai seorang “bapa ceti” pada zaman Jahiliyyah serta menyifatkan Saidina Umar sebagai seorang yang keras dan zalim sebelum memeluk Islam.

Kenyataan tersebut mengundang kritikan daripada pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), agamawan dan netizen yang berpandangan bahawa fakta berkaitan para sahabat perlu disampaikan secara lebih teliti dan bersandarkan riwayat sahih.

Ada pihak turut menyuarakan kebimbangan bahawa penggunaan istilah tertentu tanpa penjelasan menyeluruh boleh memberi gambaran negatif terhadap tokoh-tokoh besar Islam, khususnya kepada generasi muda yang kurang mendalami sejarah Islam secara mendalam.

Dalam pada itu, Mohd Nor menegaskan bahawa umat Islam perlu memahami bahawa para sahabat merupakan insan pilihan Allah SWT yang telah melalui proses tarbiah secara langsung daripada Rasulullah SAW dan memainkan peranan besar dalam mempertahankan serta menyebarkan agama Islam.

Katanya, walaupun para sahabat pernah hidup pada zaman Jahiliyyah sebelum kedatangan Islam, namun Islam telah mengangkat darjat mereka menjadi generasi terbaik umat manusia sebagaimana dijelaskan dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW.

“Perbahasan sejarah Islam perlu dibimbing dengan disiplin ilmu, adab dan kebijaksanaan. Dalam dunia media sosial hari ini, ucapan yang dipotong pendek atau di luar konteks boleh mencetuskan polemik besar dan mengelirukan masyarakat.

“Sebab itu para pendakwah, ahli politik dan agamawan perlu lebih berhati-hati dalam memilih istilah serta cara penyampaian agar mesej sebenar tidak disalah tafsir,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak supaya tidak memanjangkan polemik secara melampau sehingga menimbulkan perpecahan sesama umat Islam.

Menurutnya, sebarang perbezaan pandangan berkaitan sejarah Islam seharusnya ditangani secara ilmiah dan berhemah tanpa budaya menghukum atau membuka ruang kepada fitnah.

“Kita mahu masyarakat kembali kepada budaya ilmu dan adab. Jika ada kekhilafan, maka tegurlah dengan hikmah dan saluran yang betul demi menjaga keharmonian umat,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *