TAMIL NADU – Dalam satu tindakan besar-besaran, Ketua Menteri Tamil Nadu yang baharu mengangkat sumpah, C Joseph Vijay, telah mengarahkan penutupan lebih 700 kedai arak di negeri itu, dengan arahan supaya pelaksanaan dilakukan dalam tempoh dua minggu, menurut satu notis kerajaan.
Langkah tegas Vijay muncul selepas beberapa hari beliau memegang jawatan dengan mengarah petutupan 717 kedai arak di bawah kendalian Tamil Nadu State Marketing Corporation (TASMAC).
Arahan tersebut merupakan antara tindakan pertama yang dibuat Vijay, bekas pelakon yang kini bergelar ahli politik, selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, Ahad lalu.
Partinya, Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) memenangi 108 kerusi dalam pilihan raya Tamil Nadu yang baru selesai dan berjaya membentuk kerajaan dengan sokongan beberapa parti lain sehingga mencapai majoriti 118 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 234 kerusi.
Kerajaan Tamil Nadu semalam memaklumkan bahawa Vijay telah mengeluarkan arahan untuk menutup 717 kedai arak yang terletak dalam lingkungan 500 meter dari rumah ibadat, institusi pendidikan dan stesen bas.
Menurut kenyataan rasmi, tindakan ini diambil demi menjaga kebajikan rakyat.
Daripada jumlah itu, 276 kedai berhampiran rumah ibadat, 186 berhampiran institusi pendidikan dan 255 kedai berhampiran stesen bas yang akan ditutup dalam tempoh dua minggu akan datang.
Ketua Menteri turut mengarahkan supaya arahan ini dilaksanakan sepenuhnya dalam masa dua minggu demi kepentingan orang ramai.
“Ketika ini, sebanyak 4,765 kedai runcit arak dikendalikan oleh TASMAC. Antara jumlah itu, Ketua Menteri, S Joseph Vijay, telah mengarahkan satu audit bagi mengenal pasti kedai yang terletak dalam lingkungan 500 meter dari rumah ibadat, institusi pendidikan dan stesen bas,” menurut kenyataan rasmi pada Selasa.
Manifesto pilihan raya TVK sebelum ini turut menjanjikan usaha untuk menjadikan Tamil Nadu negeri bebas dadah. – Hindustan Times
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L