Setahun Berlalu, Tragedi FRU Teluk Intan Masih Menghantui Ingatan Negara

TELUK INTAN – Masihkah rakyat Malaysia mengingati detik hitam yang berlaku pada tarikh hari ini setahun lalu?

Pada 13 Mei 2025, negara dikejutkan dengan tragedi menyayat hati apabila sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Chikus-Sungai Lampam dekat sini, dalam satu insiden yang meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), malah seluruh negara.

Genap setahun tragedi itu berlalu hari ini, namun suasana pilu dan detik cemas yang berlaku pada pagi berkenaan masih segar dalam ingatan anggota penyelamat yang terlibat secara langsung di lokasi kejadian.

Dalam kejadian sekitar jam 8.50 pagi itu, trak membawa 18 anggota FRU Unit 5 Kem Sungai Senam, Ipoh dipercayai dirempuh sebuah lori muatan batu kerikil yang memasuki laluan konvoi FRU ketika pasukan berkenaan dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai menjalankan tugasan semalaman di Teluk Intan.

Nahas tersebut bukan sahaja meragut nyawa anggota keselamatan negara, malah menjadi antara tragedi paling memilukan membabitkan pasukan beruniform dalam jumlah yang besar.

Bagi anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), tragedi berkenaan kekal sebagai antara operasi paling sukar dilupakan sepanjang perkhidmatan mereka.

Pegawai Bomba Kanan II, Muhammad Fazli Shahril Che Ad yang bertindak sebagai Komander Operasi ketika itu berkata, suasana di lokasi kejadian cukup memilukan sebaik pasukan bomba tiba untuk menjalankan operasi menyelamat.

Menurut beliau, ketika pasukan bomba sampai, kebanyakan mangsa yang berada di bahagian belakang trak FRU telah dikeluarkan oleh rakan-rakan mereka, namun tiga lagi mangsa di bahagian hadapan masih tersepit.

“Suasana waktu itu sangat menyedihkan. Anggota FRU yang terselamat saling memanggil nama rakan-rakan mereka, ada yang meminta tolong dan ada yang cuba memastikan rakannya terus sedar.

“Kami melihat sendiri bagaimana anggota FRU daripada trak lain cuba membantu mengeluarkan mangsa walaupun keadaan ketika itu penuh darah dan sangat mencemaskan,” katanya ketika mengimbau semula tragedi tersebut.

Beliau berkata, apa yang paling menyentuh hati ialah semangat setiakawan anggota FRU yang masih cuba membantu rakan-rakan mereka walaupun diri sendiri turut cedera.

“Ada anggota yang masih sedar meminta rakannya jangan tidur dan cuba menenangkan mereka sementara bantuan tiba. Walaupun panik, mereka tetap cuba membantu antara satu sama lain,” katanya.

Menurut beliau, tragedi itu turut memberi kesan emosi mendalam kepada pasukan bomba kerana FRU dianggap sebagai pasukan sahabat yang sama-sama berada di barisan hadapan menjaga keselamatan negara.

“Kami sendiri terkejut kerana kehilangan berlaku dalam jumlah yang ramai membabitkan anggota pasukan keselamatan. Sebab itu semua anggota bomba ketika itu berusaha sedaya upaya membantu menyelamatkan mereka,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi anggota bomba, Mohd Khusni Saidin berkata, antara detik paling sukar dilupakan ialah ketika mengeluarkan seorang mangsa yang tertimbus batu kerikil di bahagian hadapan trak.

Beliau berkata, mangsa yang dikenal pasti sebagai mendiang Sarjan S. Perumal ketika itu masih bernyawa walaupun mengalami kecederaan parah hampir di seluruh badan.

“Keadaannya sangat ngeri. Mangsa tersepit dan tertimbus batu kerikil daripada lori terbabit. Walaupun cedera parah, beliau masih hidup ketika kami keluarkan dari trak.

“Tidak lama kemudian beliau meninggal dunia akibat kecederaan yang terlalu serius. Saya masih ingat darah mangsa melekat pada uniform saya ketika operasi dijalankan,” katanya.

Tambah beliau, perasaan sedih semakin terasa apabila mengenangkan semua anggota FRU itu sebenarnya dalam perjalanan pulang selepas selesai bertugas dan mahu kembali bertemu keluarga masing-masing.

Dalam pada itu, anggota Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS), Muhammad Rusyaidi Redzuan berkata, beliau bersama pasukannya melakukan dua perjalanan ulang-alik ke Hospital Teluk Intan bagi menghantar mangsa yang parah.

Katanya, sepanjang perjalanan ke hospital, beberapa mangsa masih mengerang kesakitan sementara pasukan perubatan cuba memberi sokongan emosi dan rawatan awal.

“Semangat kami ketika itu memang lain daripada biasa sebab mangsa ialah anggota beruniform seperti kami juga. Kami rasa sangat dekat dengan mereka walaupun tidak pernah mengenali secara peribadi.

“Melihat rakan-rakan mangsa menangis dan bersedih di tepi jalan benar-benar memberi kesan kepada kami semua,” katanya.

Tragedi FRU Teluk Intan itu sehingga kini kekal menjadi antara episod paling menyayat hati dalam sejarah pasukan keselamatan negara dan terus dikenang sebagai simbol pengorbanan anggota keselamatan yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi tugas dan keamanan negara.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *