ZURICH – FIFA dilaporkan merancang tindakan lebih tegas terhadap insiden tarik-menarik dan kekasaran dalam kotak penalti menjelang Piala Dunia 2026.
Di bawah cadangan yang sedang dibincangkan pegawai kanan FIFA, pengadil akan diarahkan campur tangan lebih awal bagi menghukum tindakan menolak, menarik atau mengasari pemain sebelum bola dimainkan ketika sepakan penjuru dan sepakan percuma.
Langkah drastik itu hadir susulan peningkatan kekecohan dalam Liga Perdana Inggeris musim ini.
West Ham United masih merana selepas gol penyamaan lewat permainan Callum Wilson dibatalkan ketika menentang Arsenal susulan semakan VAR mendapati Pablo mengasari penjaga gol David Raya.
Kini, pegawai tertinggi bola sepak dunia mahu pengadil diberikan kuasa bertindak lebih awal bagi mengelakkan kejohanan itu bertukar menjadi aksi “gusti” yang disaksikan seluruh dunia.
Difahamkan arahan khas kejohanan akan diberikan kepada semua pegawai perlawanan apabila mereka berkumpul di pusat operasi FIFA di Miami bulan depan.
Pengadil termasuk dua wakil England, Michael Oliver dan Anthony Taylor, akan diminta mengambil pendekatan lebih tegas terhadap insiden kekasaran ketika situasi bola mati.
Jika dilaksanakan, perubahan itu boleh menyaksikan sepakan percuma, penalti serta kad kuning dan merah diberikan walaupun kesalahan berlaku sebelum bola dimainkan.
VAR juga akan diarahkan memantau tindakan menghalang pemain secara tidak sah.
Antara contoh yang digunakan FIFA ialah gol Ben White ketika aksi England menentang Uruguay pada Mac lalu.
Gol itu hadir selepas Adam Wharton menolak pertahanan Uruguay, Jose Maria Gimenez, ketika situasi sepakan percuma diambil oleh Cole Palmer.
FIFA mahu situasi seperti itu dibatalkan jika berlaku pada Piala Dunia nanti.
Ketua Kumpulan Kajian Teknikal Piala Dunia FIFA, Pascal Zuberbuhler, sebelum ini turut memberi bayangan bahawa pengadil akan mengambil pendekatan lebih keras.
“Kami melihat trend ini terutama dalam Liga Perdana Inggeris bersama Arsenal.
“Pengadil perlu lebih peka sejak awal kerana terdapat banyak kekasaran kecil terhadap penjaga gol dan ia sukar dilihat dalam keadaan sesak,” kata Zuberbuhler.
Cadangan memperkenalkan pendekatan baharu kurang 30 hari sebelum sepak mula Piala Dunia di Mexico pada 11 Jun dijangka mencetuskan perdebatan besar dalam dunia bola sepak. – AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L