WASHINGTON – Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, dilaporkan sedang mengemukakan permohonan pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Memetik laporan Wall Street Journal (WSJ) pada Selasa, permohonan itu difailkan dalam tempoh beberapa minggu lalu, mengikut sumber yang mempunyai maklumat mengenai perkara berkenaan.
Jika permohonan itu diluluskan, ia akan menggugurkan semua pertuduhan jenayah yang dihadapi Jho Low di AS.
Laporan itu turut mendedahkan bahawa laman web Jabatan Keadilan (DOJ) AS menyenaraikan satu permintaan yang masih dalam proses di bawah nama Taek Jho Low.
Menurut laporan itu, butiran permohonan itu dikategorikan sebagai “Pengampunan Selepas Tamat Tempoh Hukuman” (Pardon after Completion of Sentence) yang difailkan tahun ini.
Agensi berita Reuters setakat ini belum dapat mengesahkan laporan berkenaan secara bebas.
Bagaimanapun, seorang pegawai di Rumah Putih memaklumkan kepada WSJ bahawa permohonan pengampunan Jho Low itu buat masa ini belum berada di bawah radar atau menjadi perhatian pihak Rumah Putih.
Jho Low menjadi individu yang paling dikehendaki susulan dakwaan peranannya sebagai dalang utama dalam skandal penyelewengan dana berbilion ringgit milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB), syarikat pelaburan strategik milik kerajaan Malaysia.
Laporan tahun lalu menyebut, Jho Low, 44, menjadi buruan sejak 2018 kerana penyelewengan dana lebih AS$4.5 bilion (RM18.22 bilion) seperti hasil siasatan DOJ membabitkan skandal 1MDB antara 2009 hingga 2014.
Berdasarkan laporan agensi media antarabangsa seperti Bloomberg, WSJ dan agensi media lain yang terbabit secara langsung dalam liputan penyelewengan dana 1MDB sejak 2019, Jho Low kerap dikesan berada di Hong Kong dan Macau.
Malah, Jho Low juga pernah dilaporkan berada di negara pulau Caribbean, iaitu St Kitts dan Nevis sebelum pihak berkuasa negara berkenaan membatalkan kewarganegaraannya.
Sehingga Disember 2025, lokasi Jho Low belum diketahui dengan pasti, namun berdasarkan maklumat sumber perisikan, dia mungkin berada di Shanghai, China, Macau atau Myanmar.
Sehingga kini, lokasi sebenar Jho Low yang disenaraikan sebagai individu dikehendaki dalam kategori Notis Merah oleh Polis Antarabangsa (INTERPOL) belum pasti dan pihak berkuasa Malaysia masih terus berusaha menjejakinya. – Agensi
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L