KUALA LUMPUR – Cadangan supaya penternak babi di Selangor memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah disifatkan sebagai kegagalan memahami asas Perlembagaan Persekutuan serta struktur pentadbiran negara.
Peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla berkata, semakan kehakiman hanya boleh difailkan terhadap keputusan kerajaan atau pihak berkuasa awam, bukannya terhadap titah Sultan secara langsung seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
Menurut beliau, terdapat percanggahan jelas dalam hujah yang dibangkitkan berhubung isu tersebut.
“Pada satu pihak mereka mendakwa Sultan tidak mempunyai kuasa dalam urus tadbir negeri, tetapi pada masa sama mahu titah Sultan dicabar melalui semakan kehakiman.
“Kalau Sultan dikatakan tidak mempunyai kuasa, maka titah baginda bukanlah keputusan kerajaan. Jika bukan keputusan kerajaan, maka ia tidak memenuhi syarat asas untuk semakan kehakiman,” katanya ketika mengulas kenyataan bekas Ahli Exco Selangor, Ronnie Liu.
Sebelum ini, Ronnie Liu dilaporkan mencadangkan agar penternak babi di Selangor mempertimbangkan tindakan undang-undang susulan kemelut berkaitan larangan aktiviti penternakan babi di negeri berkenaan.
Mengulas lanjut, Haniff berkata, sehingga kini belum terdapat sebarang keputusan rasmi daripada kerajaan negeri Selangor mahupun kerajaan Persekutuan yang menjadikan perkara tersebut sebagai dasar pentadbiran negeri.
Katanya, hanya sekiranya kerajaan secara rasmi memutuskan untuk melaksanakan titah berkenaan sebagai dasar kerajaan, maka barulah ia berpotensi menjadi subjek semakan kehakiman di mahkamah.
“Melainkan kerajaan secara rasmi memutuskan untuk melaksanakan titah tersebut sebagai dasar kerajaan, barulah ia mungkin boleh dicabar di mahkamah,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan masih ramai pihak yang gagal memahami kedudukan institusi Raja-Raja Melayu dalam kerangka Perlembagaan negara.
Menurut Haniff, Malaysia bukan sebuah negara yang meletakkan institusi diraja sekadar simbolik seperti diamalkan di sesetengah negara lain, sebaliknya sistem pemerintahan negara bergerak dalam kerangka Perlembagaan yang meletakkan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan sebagai sumber autoriti negara serta negeri.
Katanya, Perdana Menteri, Menteri Besar dan anggota pentadbiran kerajaan hanya boleh menjalankan kuasa selepas mendapat pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong atau Sultan.
Beliau turut menjelaskan, Sultan sebagai ketua agama Islam bagi negeri mempunyai tanggungjawab memelihara kedudukan Islam selain memainkan peranan dalam urusan tanah yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Dalam isu berkaitan penternakan babi di Selangor, Haniff berkata titah Sultan Selangor tidak melibatkan larangan kepada orang bukan Islam untuk memakan daging babi atau menghalang import bahan makanan tersebut ke negeri berkenaan.
Sebaliknya, katanya, titah itu hanya menyentuh soal penternakan babi dan penggunaan tanah negeri yang sememangnya berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Mengulas tindakan segelintir pihak yang mempertikaikan titah Sultan secara terbuka, Haniff menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak beradab serta boleh membawa kepada unsur penderhakaan terhadap institusi diraja.
“Jika tidak bersetuju, cara yang betul ialah memohon menghadap dan menyampaikan pandangan secara beradab dan penuh takzim, bukannya membuat kenyataan terbuka seolah-olah Sultan tidak mempunyai bidang kuasa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan mana-mana pihak yang terlibat dalam pentadbiran negara dan negeri supaya memahami struktur Perlembagaan dengan lebih tepat sebelum mengeluarkan kenyataan berkaitan institusi diraja dan bidang kuasa Raja-Raja Melayu.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L