Oleh: Nawwar Hafidz Rahimi
SEREMBAN – Seramai 19 mahasiswa dari Kelab Prime Mover Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban menganjurkan Program Remaja Holistik di Sekolah Menengah Sains (SASER) Tuanku Munawir dalam usaha meningkatkan kesedaran berkaitan gejala sosial dan kesihatan mental dalam kalangan remaja.
Program berbentuk kesukarelawanan dan khidmat masyarakat itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Institut Sosial Malaysia dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Inisiatif berkenaan bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai cabaran semasa melibatkan aspek sosial, emosi dan pendidikan seksual dalam kalangan remaja.
Program tersebut diwujudkan susulan kebimbangan terhadap peningkatan masalah sosial yang semakin kerap dilaporkan, selain pengaruh teknologi dan media sosial tidak terkawal sehingga menjejaskan akhlak serta pergaulan remaja masa kini.
Sepanjang program berlangsung, pelajar didedahkan dengan sesi interaktif menerusi tiga modul utama iaitu Perkembangan Diri Remaja, Kesihatan Mental dan Emosi Remaja serta Seksualiti Remaja bagi membantu mereka memahami cabaran alam remaja dan mengurus kehidupan secara lebih positif.
Sukarelawan terdiri daripada ahli Kelab Prime Mover UiTM turut menerima latihan khas daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara dan Institut Sosial Malaysia berkaitan kesihatan mental dan pendidikan seksual bagi memastikan penyampaian maklumat lebih jelas dan berkesan kepada pelajar.
Pengarah Projek, Mohamad NurHakim Azmi berkata, program itu bertujuan meningkatkan kesedaran remaja mengenai kepentingan pengetahuan berkaitan perhubungan sosial, kesihatan mental dan emosi serta pendidikan seksual.
“Program ini juga memberi panduan kepada remaja mengenai langkah pencegahan yang boleh diambil bagi mengelakkan diri daripada terlibat dengan gejala sosial, selain membantu mereka menjalani kehidupan lebih bermakna dan fokus terhadap matlamat hidup,” katanya.
Sementara itu, penasihat program, Khairolizwan Harry berkata, penglibatan mahasiswa dalam program kesukarelawanan mampu memberi manfaat kepada masyarakat serta meningkatkan kemahiran insaniah pelajar universiti.
Menurut beliau, program seperti itu dapat memupuk semangat kerjasama, komunikasi dan kepimpinan dalam kalangan mahasiswa, selain melahirkan sukarelawan yang lebih prihatin terhadap isu semasa melibatkan remaja.
Kelab Prime Mover UiTM berharap pelaksanaan Program Remaja Holistik 2026 dapat diteruskan pada masa hadapan bagi membantu melahirkan generasi muda yang lebih berdaya tahan, berpengetahuan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan secara sihat serta positif.
Nawwar Hafidz Rahimi ialah Exco Penerbitan Artikel Dan Media Massa, Kelab Prime Mover Uitm Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L