PETALING JAYA – Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT) mengambil pendekatan baharu dalam usaha memperkukuhkan aspek kebajikan pemain apabila memperkenalkan perlindungan insurans individu serta dasar kontrak lebih telus bermula musim ini.
Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha pengurusan pasukan untuk meningkatkan profesionalisme skuad Terengganu yang kini bersaing dalam kempen Piala Agong edisi ke-42.
Pengurus pasukan, Mohd Haqiuddin Ali Rabu berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan selepas pihak persatuan menilai beberapa cabaran yang pernah dihadapi sebelum ini melibatkan kebajikan pemain.
Menurutnya, sebelum ini perlindungan insurans dilakukan secara berkelompok, namun PRNT kini memilih pendekatan lebih menyeluruh dengan menyediakan perlindungan individu kepada pemain tempatan.

“Walaupun perlindungan secara individu ketika ini hanya melibatkan pemain tempatan, ia tetap menjadi satu permulaan yang baik dan penambahbaikan positif buat pasukan musim ini,” katanya.
Beliau berkata, pemain import pula masih berada di bawah perlindungan insurans berkumpulan susulan beberapa syarat tertentu yang ditetapkan syarikat insurans.
Katanya, pendekatan tersebut tetap memberi manfaat kepada semua pemain termasuk peluang untuk meneruskan caruman insurans masing-masing selepas tidak lagi bersama pasukan.
Dalam pada itu, Mohd Haqiuddin menjelaskan pengurusan turut mengamalkan dasar lebih terbuka berkaitan kontrak pemain bagi mengelakkan sebarang salah faham antara pemain dan pihak pasukan.
“Setiap pemain diberi ruang untuk memahami kandungan kontrak serta mengemukakan pertanyaan sebelum menandatangani perjanjian,” katanya lagi.
Sementara itu, bekas kapten kebangsaan, Mohammad Nasharudin Ismail, menyifatkan pendekatan lebih telus itu mampu memberi impak positif terhadap keharmonian pasukan.
Katanya, setiap bentuk perjanjian antara pemain dan pasukan perlu dihormati demi menjaga profesionalisme serta semangat berpasukan.
“Apabila pemain memahami isi kandungan kontrak masing-masing dan pengurusan pula bersikap terbuka, ia dapat mewujudkan suasana lebih positif dalam pasukan,” katanya.
Terengganu memulakan kempen Piala Agong musim ini dengan aksi menentang Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada saingan peringkat kumpulan di Padang Astaka, Petaling Jaya, petang ini.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L