Bengal Barat Bergolak Selepas Pilihan Raya, Kematian dan Rusuhan Cetus Krisis Politik Baharu di India

HYDERABAD – Suasana politik di Bengal Barat bertukar tegang dan ganas apabila gelombang rusuhan pasca pilihan raya tercetus hanya beberapa hari selepas keputusan Dewan Undangan Negeri diumumkan, sehingga mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan politik di salah sebuah negeri paling penting di India.

Pertembungan antara penyokong parti pemerintah negeri sebelum ini, All India Trinamool Congress (TMC) dan parti nasionalis Hindu, Bharatiya Janata Party (BJP) dilaporkan semakin memuncak dengan beberapa insiden pembunuhan, serangan bersenjata serta kebakaran dilaporkan di pelbagai daerah sejak Isnin lalu.

Situasi itu menyaksikan politik Bengal Barat kini bukan lagi sekadar perebutan kuasa pilihan raya, tetapi bertukar menjadi konflik jalanan yang menakutkan penduduk tempatan.

Menurut kenyataan TMC pada Rabu, tiga pekerja parti berkenaan dilaporkan terbunuh dalam siri keganasan politik sepanjang tiga hari kebelakangan ini.

Dalam perkembangan berasingan, pembantu kepada pemimpin kanan BJP negeri, Suvendu Adhikari iaitu Chandranath Rath maut selepas ditembak individu tidak dikenali di kawasan Madhyamgram berhampiran bandar Kolkata lewat malam Rabu.

Insiden tersebut menambahkan lagi ketegangan politik apabila kedua-dua parti saling menuduh antara satu sama lain sebagai dalang kepada keganasan yang semakin tidak terkawal.

Media tempatan melaporkan beberapa kawasan di Bengal Barat turut menyaksikan rumah dibakar, kedai dirosakkan dan kumpulan penyokong parti bertempur di jalanan sejak keputusan rasmi pilihan raya diumumkan.

Kenderaan dibakar dan beberapa kawasan dilaporkan berada dalam keadaan tegang dengan kehadiran pasukan keselamatan dipertingkatkan bagi mengelakkan rusuhan terus merebak.

Pilihan raya kali ini dianggap antara yang paling sengit dalam sejarah politik Bengal Barat selepas BJP berjaya mencatat kemenangan besar menewaskan TMC pimpinan Ketua Menteri tiga penggal, Mamata Banerjee.

Keputusan itu dilihat sebagai tamparan besar kepada Banerjee yang selama ini dianggap tokoh politik paling dominan di negeri berkenaan.

BJP berjaya meraih 207 kerusi daripada keseluruhan 294 kerusi Dewan Undangan Negeri, manakala TMC hanya memperoleh 80 kerusi.

Kemenangan besar itu turut mengukuhkan lagi pengaruh BJP di bawah kepimpinan Perdana Menteri India, Narendra Modi yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini agresif memperluaskan pengaruh parti itu ke negeri-negeri yang sebelum ini dikuasai parti serantau.

Ini juga merupakan kali pertama BJP mentadbir Bengal Barat, negeri yang mempunyai kira-kira 100 juta penduduk dan bersempadan dengan Bangladesh.

Namun, Banerjee enggan menerima kekalahan tersebut secara terbuka dan mendakwa keputusan pilihan raya itu bukan lahir daripada mandat rakyat sebenar.

Beliau mendakwa wujud konspirasi politik yang menyebabkan TMC tumbang dan menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya India gagal bertindak secara adil sepanjang proses pengundian berlangsung.

Sebagai tanda bantahan simbolik, Banerjee turut memaklumkan beliau tidak akan meletakkan jawatan sebagai ketua menteri dalam masa terdekat walaupun partinya tewas.

Malah, beliau dilaporkan bercadang membawa keputusan pilihan raya itu ke mahkamah bagi mencabar kesahihan proses pengundian.

Tindakan tersebut dijangka terus memanaskan suhu politik Bengal Barat ketika BJP sedang membuat persiapan membentuk kerajaan baharu.

Di Kolkata, persediaan bagi majlis angkat sumpah kerajaan negeri pimpinan BJP dijadual berlangsung Sabtu ini dengan kawalan keselamatan diperketatkan.

Pemerhati politik India melihat krisis yang berlaku di Bengal Barat sebagai petanda bahawa polarisasi politik di negara itu semakin membimbangkan, terutama apabila persaingan antara BJP dan parti-parti pembangkang kini semakin agresif.

Ramai penganalisis turut memberi amaran keganasan politik pasca pilihan raya boleh menjadi ancaman serius kepada demokrasi India sekiranya budaya permusuhan politik terus dibiarkan berkembang.

Dalam masa sama, rakyat Bengal Barat kini berdepan ketakutan apabila konflik politik yang sepatutnya berakhir di peti undi bertukar menjadi keganasan di jalanan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *