Kes 3R: Desakan Perkasa Undang-Undang Hina Raja-Raja Melayu

PUTRAJAYA – Peningkatan kes penghinaan terhadap institusi Raja-Raja Melayu, khususnya di platform media sosial, disifatkan sebagai satu perkembangan membimbangkan yang memerlukan tindakan tegas serta penambahbaikan undang-undang sedia ada.

Ketua Setiausaha Sekretariat Orang Melayu, Dato’ Wira Marzuki Yahya berkata, perbuatan biadab oleh pihak tidak bertanggungjawab menghina institusi diraja bukan sahaja mencabar kedaulatan negara, malah menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Menurut beliau, institusi Majlis Raja-Raja merupakan tunjang utama dalam sistem kenegaraan Malaysia serta simbol perpaduan rakyat yang perlu dihormati dan dipelihara tanpa kompromi.

“Namun, mutakhir ini kita menyaksikan peningkatan yang membimbangkan dalam kes melibatkan elemen 3R (agama, kaum dan raja), khususnya penghinaan terhadap Raja-Raja Melayu.

“Ini mencerminkan kemerosotan nilai hormat dalam kalangan segelintir masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan agar meneliti dan mengkaji semula rang undang-undang berkaitan kesalahan menghina institusi diraja, yang menurutnya ketika ini dilihat terlalu ringan dan tidak memberi kesan pencegahan yang mencukupi.

“Sekiranya seseorang disabitkan kesalahan menghina Raja-Raja Melayu, hukuman yang dikenakan seharusnya lebih tegas dan setimpal, bukan sekadar tiga bulan penjara dan denda RM5,000,” tegas beliau.

Beliau mencadangkan supaya hukuman yang lebih berat dipertimbangkan, termasuk penjara melebihi lima tahun, denda melebihi RM100,000 serta hukuman sebat sebagai langkah pencegahan yang lebih berkesan.

Marzuki turut menyatakan, kelemahan dari sudut hukuman ketika ini dilihat menjadi faktor yang mendorong pihak tidak bertanggungjawab untuk terus berani melakukan penghinaan secara terbuka, khususnya melalui media sosial seperti Facebook.

Dalam masa sama, beliau menggesa pihak berkuasa agar memperketatkan siasatan, terutama dalam aspek pengesahan pemilikan akaun media sosial yang digunakan untuk menyebarkan kandungan menghina.

“Kita sering mendengar alasan bahawa akaun telah digodam atau disalahgunakan apabila pemiliknya ditahan. Oleh itu, kajian dan penelitian yang lebih mendalam perlu dilakukan bagi menentukan sama ada akaun tersebut benar-benar palsu atau milik sebenar individu berkenaan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, tiada mana-mana pihak harus mengambil ringan isu yang menyentuh kedaulatan negara dan institusi diraja.

“Tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan maruah institusi Raja-Raja Melayu terus terpelihara. Kita tidak boleh berkompromi dalam hal ini. Undang-undang perlu diperkasakan agar menjadi benteng kukuh terhadap sebarang bentuk penghinaan,” katanya.

Beliau dalam masa sama menyeru seluruh rakyat Malaysia agar lebih bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial serta sentiasa menghormati institusi negara demi memastikan keharmonian dan kestabilan negara terus terjamin.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *