KUALA LUMPUR – Veteran politik, Tan Sri Annuar Musa menggariskan lima syarat utama yang menurutnya perlu dipenuhi bagi membentuk sebuah “rumah” atau “payung” politik Melayu yang kukuh, stabil dan berdaya saing dalam landskap politik semasa.
Dalam satu kenyataan yang dilihat sebagai pandangan strategik terhadap masa depan politik Melayu-Islam, beliau menegaskan, sebarang usaha penyatuan tidak boleh bersifat simbolik semata-mata, sebaliknya mesti berlandaskan prinsip yang jelas dan konsisten.
Menurut Annuar, syarat paling utama ialah menjadikan Islam sebagai dasar dan pegangan utama dalam pembentukan gabungan atau platform politik tersebut.
Beliau menekankan, asas itu penting bagi memastikan hala tuju perjuangan tidak tersasar serta mampu menjadi panduan dalam membuat keputusan, khususnya dalam menghadapi cabaran politik dan sosial yang semakin kompleks.
Selain itu, beliau turut menegaskan, penyatuan perlu bermula dalam kalangan orang Melayu terlebih dahulu sebelum diperluaskan kepada kerjasama yang lebih besar.
Pandangan ini dilihat selari dengan naratif sebahagian pihak dalam politik negara yang melihat perpecahan dalam kalangan parti-parti Melayu sebagai antara faktor utama kelemahan pengaruh politik mereka.
Dalam kenyataan sama, Annuar turut menyentuh soal kerjasama politik dengan pihak lain yang berbeza ideologi dan berpandangan, gabungan Melayu tidak seharusnya mengangkat “musuh” atau pihak yang mempunyai ideologi berbeza untuk menjadi teras kuasa dalam kerajaan.
Walaupun tidak menyebut secara khusus mana-mana parti, kenyataan ini dilihat mempunyai kaitan dengan dinamika hubungan antara parti-parti Melayu dengan gabungan pelbagai kaum seperti Pakatan Harapan (PH) dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau turut menekankan, aspek kepimpinan adalah elemen kritikal dalam menjayakan gagasan tersebut sambil menyatakan, pemimpin yang ingin menerajui “rumah Melayu” mestilah bersih, berintegriti dan tidak bersikap hipokrit.
Annuar turut memberi isyarat, krisis kepercayaan rakyat terhadap politik sebahagiannya berpunca daripada isu integriti dan ketelusan dalam kalangan pemimpin.
Dalam syarat kelima, beliau menegaskan, gabungan Melayu perlu berperanan sebagai peneraju kuasa, bukan sekadar menjadi “kingmaker” atau penentu kepada pihak lain untuk membentuk kerajaan.
Menurutnya, peranan sebagai kingmaker tidak memberikan kestabilan jangka panjang dan hanya meletakkan sesuatu gabungan dalam kedudukan yang lemah serta bergantung kepada pihak lain.
Akhir sekali bekas menteri itu memberi amaran, tanpa memenuhi kelima-lima syarat tersebut, sebarang usaha membentuk penyatuan Melayu hanya akan menjadi sesuatu yang tidak realistik dan tidak berakar dalam realiti politik sebenar.
Beliau mengibaratkan keadaan itu sebagai “pondok bunian”, satu metafora yang merujuk kepada sesuatu yang kelihatan wujud, tetapi sebenarnya rapuh dan tidak berpijak di dunia nyata.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L