Rafizi Jalani Soal Siasat SPRM Hampir Tujuh Jam, Sambung Lagi Hari Ini

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli semalam, menjalani sesi soal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama hampir tujuh jam di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya.

Menurut beliau, sesi berkenaan bermula sekitar jam 10 pagi dan berlarutan sehingga jam 6.40 petang, dengan proses soal siasat dijadualkan bersambung pada hari berikutnya (hari ini), bermula pada waktu yang sama.

Kehadiran beliau di ibu pejabat SPRM turut disertai kumpulan penyokong dari pelbagai latar belakang, termasuk rakan seperjuangan lama sejak era reformasi, golongan profesional serta wakil rakyat.

Dalam kenyataan yang dimuat naik selepas sesi tersebut, Rafizi merakamkan penghargaan kepada mereka yang hadir memberikan sokongan moral, termasuk individu daripada generasi gerakan Reformasi 1998, golongan muda yang masih menuntut di universiti serta rakan dari luar Kuala Lumpur.

Turut hadir beberapa peguam kanan dan muda, termasuk Yaacob Md. Sam, bekas Hakim Mahkamah Rayuan dan bekas Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan bersama beberapa lagi pengamal undang-undang.

Selain itu, beberapa Ahli Parlimen turut kelihatan hadir memberikan sokongan, antaranya Wong Chen (Subang), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Mohd Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).

Rafizi menjelaskan, beliau tidak dapat mendedahkan sebarang butiran berkaitan kandungan soal siasat kerana tertakluk kepada peruntukan undang-undang di bawah Akta SPRM.

Namun, beliau memaklumkan sesi tersebut berlangsung secara berterusan, termasuk ketika waktu tengah hari, dengan hanya berhenti seketika untuk menunaikan solat sebelum menyambung semula proses berkenaan.

Dalam masa sama, Rafizi berkongsi, beliau sempat menyampaikan satu peringatan dalam bilik soal siasat yang disifatkan sebagai refleksi kepada dirinya dan semua pihak yang terlibat dalam menjalankan tugas.

Beliau menegaskan, walaupun penjawat awam bertanggungjawab melaksanakan arahan dan tugas yang diberikan, terdapat batas moral dan agama yang perlu dipertimbangkan, khususnya dalam kalangan mereka yang beragama Islam.

“Kita semua memang cuba untuk menjalankan tugas. Pegawai kerajaan memang hanya menurut perintah dan menjalankan tugas. Tetapi kita juga orang Islam. Ada garis yang kita perlu lakar dalam kita mengimbangi tuntutan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim,” katanya.

Sesi soal siasat terhadap Rafizi dijangka bersambung esok, menandakan proses siasatan masih berada di peringkat aktif. Setakat ini, pihak SPRM belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung butiran siasatan tersebut.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *