Krisis di Mali, EgyptAir batal penerbangan 4,000 jemaah haji

BAMAKO – Syarikat penerbangan EgyptAir membatalkan semua penerbangan haji ke dan dari Mali yang kini dilanda krisis, sekali gus menjejaskan ibadah lebih 4,000 bakal jemaah, lapor badan penyelaras haji negara itu.

Pembatalan berkenaan dibuat ketika negara Afrika Barat itu berdepan krisis keselamatan yang meruncing, susulan serangan kumpulan pemisah dan pejuang jihad yang menyasarkan junta pemerintah.

Serangan berskala besar di beberapa kubu kuat junta pada hujung minggu lalu mengorbankan menteri pertahanan negara itu, manakala kumpulan pejuang mula menyekat beberapa laluan masuk ke ibu negara, Bamako.

Badan kerajaan yang menguruskan penyertaan haji rakyat Mali berkata, pembatalan penerbangan itu berpunca daripada perbezaan kos berkaitan kenaikan harga bahan api serta faktor keselamatan di Mali.

“Pembatalan itu secara tidak langsung mencetuskan kebimbangan dan kekeliruan, bagaimanapun perbincangan pada peringkat tertinggi sedang dijalankan bagi mencari penyelesaian segera.

“Semua persediaan sedang dilakukan bagi memastikan jemaah dapat berlepas dalam keadaan yang terbaik,” katanya.

Pembatalan itu menjejaskan hampir satu pertiga daripada keseluruhan kuota 13,323 jemaah yang diperuntukkan kepada Mali bagi musim haji 2026.

Permit haji diperuntukkan kepada sesebuah negara berdasarkan sistem kuota dan diagihkan kepada individu melalui sistem cabutan undi.

Jemaah dari seluruh dunia kini sudah mula membanjiri Arab Saudi dan ibadat haji dijadualkan bermula pada minggu terakhir bulan Mei.

Setiap umat Islam diwajibkan menunaikan haji ke Makkah sekurang-kurangnya sekali seumur hidup sekiranya berkemampuan.

Bakal jemaah akan berkumpul di kota suci itu selama beberapa hari bagi melaksanakan ibadat dengan menjejaki semula perjalanan haji terakhir Nabi Muhammad SAW. – AFP

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *