Kemarau Berpanjangan Cetis Krisis Malnutrisi dan Kematian di Somalia

Oleh: Wartawan ND

DALAM keadaan serba kekurangan, kemarau yang semakin memburuk di Somalia menambahkan lagi derita penduduk di sana.

Menurut laporan kakitangan Islamic Relief Somalia, wabak malnutrisi merebak luas sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya satu kematian berlaku di sebuah kem penempatan sementara iaitu kem Iftin berhampiran Bardhere di daerah Gedo.

Mereka memberi amaran, lebih ramai yang akan meninggal dunia jika bantuan segera tidak dihulurkan.

Taburan hujan yang rendah telah menyebabkan Somalia mengalami kemarau berpanjangan sehingga memusnahkan tanaman, ternakan dan sumber air, selain memaksa jutaan penduduk meninggalkan tanah kediaman mereka demi mencari bantuan.

Islamic Relief turut menyatakan konflik yang semakin memuncak di Timur Tengah memberi impak yang besar susulan penutupan Selat Hormuz yang mengganggu bekalan global dan meningkatkan kos bahan api sehingga 134 peratus, sekali gus menyebabkan harga makanan meningkat.

Penduduk yang melarikan diri ke kem Iftin menerima bantuan daripada Islamic Relief berupa makanan dan bantuan lain sebaik mereka tiba di kem tersebut dalam keadaan terdesak setelah berjalan sejauh 50 hingga 60 kilometer hanya untuk mendapatkan bantuan.

Penilaian bersama oleh agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan NGO mendapati 80 peratus penduduk di daerah tersebut hanya mampu bertahan dengan satu hidangan kecil sehari.

Penyelaras Komunikasi Kanan Islamic Relief Somalia, Awil Abukar Mohamed yang baharu sahaja melawat kem Iftin berkata, kesunyian di situ paling menghantuinya.

”Ia bukan kesunyian yang damai, tetapi sunyi yang berat dan menyesakkan akibat keletihan. Orang ramai telah menggunakan seluruh tenaga mereka hanya untuk sampai ke sini, dan ramai yang tiba dalam keadaan lemah, letih dan hampir mati selepas berjalan berhari-hari.

”Di kem ini, kanak-kanak kecil dan warga emas berada di bawah terik matahari tanpa perlindungan yang sempurna dan tanpa minuman. Ibu bapa sanggup berlapar sepanjang hari supaya anak-anak mereka dapat makan lebih sedikit.

”Islamic Relief menyediakan makanan dan bantuan tunai supaya mereka boleh membeli keperluan di pasar tempatan, tetapi ia belum mencukupi. Kami amat memerlukan bantuan tambahan dengan segera sebelum lebih ramai terkorban,” katanya

Kemarau juga dilaporkan semakin buruk di beberapa kawasan di Kenya dan Ethiopia sehingga memusnahkan jutaan kehidupan dan sumber pendapatan di seluruh rantau Tanduk Afrika.

Di Somalia, jumlah penduduk yang berdepan kelaparan akut telah meningkat dua kali ganda sejak tahun lalu kepada 6.5 juta, hampir satu pertiga daripada keseluruhan populasi.

Sekurang-kurangnya 1.85 juta kanak-kanak berumur bawah lima tahun dijangka mengalami kekurangan zat makanan akut. Islamic Relief turut menemubual beberapa penduduk yang baru tiba di kem Iftin.

Hawa Ibrahim Abdirahman, 26, menempuh perjalanan sukar selama lima hari untuk membawa anak-anaknya ke Iftin selepas kemarau membunuh semua ternakannya iaitu lima unta, 10 lembu dan 25 kambing.

Di kem, beliau mendukung anak bongsunya yang mengalami kekurangan zat makanan teruk, namun tiada makanan untuk diberikan.

Katanya, beliau tiada apa-apa untuk diberikan kepada anaknya dan sudah tidak mampu makan atau minum.

“Adakah kami tak layak untuk hidup seperti manusia lain? Kami sangat penat mencari bantuan,” katanya.

Seorang lagi ibu, Muslimo Ali Mohamed, 32, terpaksa mengendong anak-anaknya sepanjang sebahagian perjalanan. Mereka berjalan selama lima hari dalam cuaca panas melampau untuk sampai ke Iftin dari wilayah Bay.

“Saya melihat dapur saya dan mula menangis kerana anak-anak meminta makanan yang saya tidak ada,” katanya.

Hari demi hari, semakin ramai yang tiba di kem Iftin dan komuniti tempatan sedaya upaya membantu keluarga-keluarga ini. Namun, pemimpin komuniti bimbang akan kemasukan lebih ramai penduduk kerana sumber sedia ada sudah sangat terhad, manakala agensi bantuan pula berdepan kekangan dana dan kapasiti.

Somalia semakin kerap dilanda krisis iklim yang membawa maut. Walaupun negara ini antara penyumbang karbon terendah di dunia, ia menerima kesan perubahan iklim yang besar.

Cara hidup tradisional semakin musnah dan ramai penduduk di Iftin serta kem-kem lain kini terpaksa mengemis di bandar berhampiran kerana tiada sumber pendapatan lain.

Bantuan kemanusiaan sebelum ini berjaya mengelakkan kehilangan nyawa secara besar-besaran semasa kemarau besar terdahulu, namun pemotongan dana global menyebabkan respons semasa jauh daripada mencukupi.

Rayuan bantuan yang diterajui PBB bagi Somalia untuk tahun 2026 kini hanya menerima 13% daripada jumlah dana yang diperlukan.

Pada tahun 2025, Islamic Relief telah membantu lebih 700,000 penduduk di Somalia, termasuk menyediakan bantuan kemanusiaan kepada keluarga yang dipindahkan serta menyokong petani melalui penambahbaikan sistem pengairan dan teknik pertanian.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *