Projek Nanas MD2 Pacu Potensi IPTA, Optimumkan Tanah Terbiar

Oleh: NurFarhana Zulkeply

NILAI – Projek penanaman nanas MD2 dilihat mampu meningkatkan potensi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) melalui penggunaan tanah terbiar secara optimum serta menjana sumber pendapatan baharu.

Pengarah Bahagian Pengembangan dan Pembangunan Tanaman, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Rosmizan Md. Yusof berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja memberi nilai ekonomi, malah berperanan melahirkan modal insan berkemahiran dalam bidang pertanian.

Beliau berkata, LPNM komited menyediakan khidmat nasihat bagi memastikan projek berkenaan dapat dilaksanakan secara berterusan dan berdaya maju.

“Fokus, minat dan serius dalam membuat sesuatu perkara. Jangan hangat-hangat tahi ayam dan berhenti separuh jalan.

“Pertanian ini mempunyai banyak cabaran, terutama apabila melibatkan faktor alam semula jadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Mesyuarat Sinergi Projek Nanas MD2 di Bilik Mesyuarat USIM Healthcare, Nilai di sini, hari ini.

Menurut Rosmizan, beberapa IPTA lain turut melaksanakan projek sama termasuk UiTM Jasin, UiTM Segamat serta Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Katanya, antara inisiatif yang dijalankan melibatkan kajian sisa nanas, pertanian waktu malam (night farming), pembangunan produk asas pertanian, makanan ternakan dan prebiotik.

“Projek ini berbaloi dan ada yang masih diteruskan sehingga hari ini, termasuk di UiTM Segamat dan UMPSA,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, cabaran pelaksanaan projek sentiasa wujud, namun pihak LPNM bersedia membantu menyediakan langkah penyelesaian bagi memastikan kelangsungan projek.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *