Subsidi Diesel Di Sabah, Sarawak Diteruskan Demi Keperluan Rakyat dan Cabaran Geografi

Olahan NurFarhana Zulkeply

KOTA KINABALU – Keputusan kerajaan untuk mengekalkan subsidi diesel pada kadar RM2.15 seliter di Sabah, Sarawak dan Labuan dilihat sebagai langkah tepat, mengambil kira keadaan geografi yang unik serta keperluan ekonomi dan sosial penduduk di wilayah berkenaan.

Beberapa pemimpin negeri menegaskan bahawa penggunaan diesel di Sabah dan Sarawak bukan sekadar pilihan, tetapi satu keperluan penting. Ini berikutan keluasan kawasan, bentuk muka bumi yang mencabar serta kebergantungan tinggi kepada pengangkutan darat dan air untuk menghubungkan komuniti, khususnya di kawasan pedalaman.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Jamawi Jaafar turut menjelaskan bahawa keadaan infrastruktur jalan raya yang terhad dan mencabar menyebabkan kenderaan pacuan empat roda serta enjin diesel menjadi keperluan utama penduduk, berbeza dengan situasi di Semenanjung yang mempunyai rangkaian jalan lebih baik.

“Keadaan geografi dan infrastruktur di Sabah menjadikan diesel satu keperluan penting dalam pergerakan harian dan rantaian bekalan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan petani kecil turut mendapat manfaat daripada subsidi tersebut.

Dalam masa sama, terdapat pandangan berbeza apabila bekas menteri, Liew Yun Fah menyifatkan pemberian subsidi itu tidak adil kepada negeri lain.

Bagaimanapun, Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) menegaskan langkah berkenaan berasas memandangkan kos logistik yang lebih tinggi serta kekangan kemudahan asas di negeri itu.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Ewon Benedick berkata subsidi diesel penting bagi mengelakkan peningkatan mendadak kos pengangkutan yang boleh menjejaskan harga barangan.

“Bukan semua rakyat Sabah berkemampuan, dan harga barangan di sini sudah pun lebih tinggi berbanding Semenanjung,” katanya.

Beliau turut menegaskan Sabah wajar menerima sokongan tersebut sebagai antara negeri pengeluar utama minyak dan gas negara.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *