BACHOK – Jenazah Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail yang meninggal dunia akibat kanser usus awal pagi tadi selamat dikebumikan dalam suasana penuh hiba di Tanah Perkuburan Kampung Kuin.
Kira-kira 200 ahli keluarga, kenalan serta warga KPDN Kelantan hadir mengiringi pengebumian Allahyarham selepas jenazah disolatkan di Masjid Al-Baqi Mukim Mujur, Jelawat.
Anak sulung Allahyarham, Nur Arisha Abi Azman, 29, memaklumkan keluarga menerima pemergian tersebut dengan reda selepas arwah disahkan menghidap kanser usus sejak Disember tahun lalu.
“Sebelum ayah ditidurkan lapan hari lepas, kami semua sempat berbual dengan ayah. Ayah seorang yang kuat dan menyatakan untuk terus berikhtiar seboleh mungkin mengubati penyakitnya.
“Namun, pagi tadi kami dikejutkan dengan berita pemergian ayah. Walaupun sangat sedih, kami reda. Kami juga bersyukur kerana sempat menjaga ayah dalam tempoh tiga bulan ini sejak didiagnosis penyakit kanser usus,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Nur Arisha Abi berkata Allahyarham sebelum ini telah menjalani dua pembedahan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan sedang menunggu untuk pembedahan ketiga.
Sementara itu, Timbalan Pengarah KPDN Kelantan Aswadi Jaafar menyifatkan pemergian Allahyarham yang mula bertugas pada 2023 satu kehilangan besar buat seluruh warga agensi itu.
“Arwah seorang yang sangat baik, lemah lembut dan berdedikasi dalam menjalankan tugas. Dalam tempoh sakit beliau tetap memikirkan tentang kerja dan nasihatkan kami supaya bekerja dengan baik. Amanah ini akan kami jalankan sebaik mungkin
“Saya bagi pihak KPDN Kelantan mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga. Kami kehilangan seorang bos yang sangat baik,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L