KUALA LUMPUR – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, tuduhan kononnya beliau menjadi punca perpecahan orang Melayu adalah tidak tepat, sebaliknya berpunca daripada perubahan haluan perjuangan UMNO sendiri.
Menurut beliau, keputusannya untuk keluar dari UMNO dibuat selepas parti itu didakwa telah menyimpang daripada perjuangan asalnya, iaitu membela bangsa, negara dan agama kepada fokus memperkayakan diri.
Beliau menjelaskan, penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah usaha untuk menyediakan alternatif kepada orang Melayu yang kecewa dengan kepimpinan UMNO ketika itu, khususnya di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
“Tujuan penubuhan Bersatu adalah untuk mengekalkan orang Melayu dalam satu wadah politik yang boleh menggantikan UMNO,” katanya dalam satu kenyataan.
Namun begitu, beliau mengakui usaha tersebut tidak mencapai matlamat sepenuhnya apabila sebahagian besar ahli UMNO memilih untuk kekal dalam parti itu, manakala sebahagian lain tidak menyertai Bersatu.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Bersatu hanya memenangi 13 kerusi Parlimen, sekali gus gagal menjadi pengganti utama UMNO sebagai parti dominan Melayu.
Menurut beliau, keadaan ini telah menyumbang kepada perpecahan dalam kalangan orang Melayu apabila sokongan politik berpecah kepada pelbagai parti.
“Perpecahan berlaku bukan kerana penubuhan Bersatu semata-mata, tetapi kerana orang Melayu tidak bersatu di bawah satu wadah,” jelas beliau.
Beliau turut menegaskan, kekuatan orang Melayu pada masa lalu bukan terletak pada nama UMNO semata-mata, tetapi pada perpaduan yang wujud dalam parti tersebut ketika menentang penjajahan British.
“Jika pada masa itu terdapat banyak parti, orang Melayu tidak mungkin berjaya mencapai kemenangan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menekankan perpaduan merupakan faktor utama kekuatan politik orang Melayu, bukannya kewujudan mana-mana parti tertentu.
Bagi mengatasi isu perpecahan, beliau mencadangkan konsep “Payung Besar” sebagai satu platform untuk menyatukan orang Melayu di bawah satu organisasi, yang diyakini mampu meningkatkan peluang kemenangan dalam pilihan raya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L