Olahan NurFarhana Zulkeply
PUTRAJAYA – Dalam usaha nampak “prihatin” di tengah tekanan kos dan krisis tenaga global, kerajaan akhirnya membuka ruang kepada penjawat awam tertentu untuk bekerja dari rumah (BDR) bermula 15 April ini.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, kemudahan itu melibatkan kakitangan Persekutuan yang tinggal di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor serta ibu negeri yang berulang-alik lebih lapan kilometer dari pejabat.
Katanya, ini adalah satu langkah yang diambil kerajaan berikutan kesan konflik di Asia Barat yang semakin terasa dan pelaksanaan BDR akan dibuat secara berperingkat dengan garis panduan jelas merangkumi syarat, peraturan serta kaedah pelaksanaan.
“Bagaimanapun, bukan semua boleh menarik nafas lega dengan pelaksanaan BDR kerana beberapa sektor ada yang terkecuali daripada kemudahan ini khususnya barisan hadapan seperti Angkatan Tentera Malaysia, polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat dan agensi berkaitan yang memang tidak mempunyai pilihan selain kekal di lapangan.
“Golongan dalam sektor kesihatan dan pendidikan yang terlibat secara langsung dengan perkhidmatan kritikal juga tidak termasuk dalam ‘keistimewaan’ ini iaitu realiti yang sekali lagi menunjukkan tidak semua kerja boleh dipindahkan ke ruang tamu.
“Bagi jabatan lain yang layak, keputusan akan diserahkan kepada ketua jabatan masing-masing untuk menilai keperluan operasi dan menyusun jadual BDR, bergantung kepada budi bicara dan tafsiran setiap organisasi,” katanya.
Menurut beliau, pegawai juga diwajibkan menggunakan sistem SPOT-Me bagi merekod kehadiran secara elektronik, termasuk pengesanan lokasi secara berkala.
Pelaksanaan BDR katanya, turut bergantung kepada hari rehat mingguan setiap negeri, dengan negeri bercuti Ahad melaksanakan BDR dari Selasa hingga Khamis, manakala negeri bercuti Jumaat dari Isnin hingga Rabu.
Langkah ini turut diperluaskan kepada badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan selaras dengan dasar kerajaan.
NurFarhana Zulkeply adalah pelajar USIM yang menjalani latihan industri di Nasional Daily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L