JOHOR BAHRU – Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baharu parti itu supaya terus merendah diri, menghormati mandat rakyat serta memberi tumpuan sepenuhnya kepada khidmat untuk masyarakat susulan kejayaan MCA memenangi lapan kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam.
Menurut beliau, sejurus keputusan rasmi pilihan raya diumumkan malam tadi, satu mesyuarat tergempar telah diadakan bersama semua wakil rakyat MCA yang dipilih bagi membincangkan gerak kerja serta hala tuju parti dalam menghadapi penggal pentadbiran baharu.
Mesyuarat tersebut berlangsung di Pejabat Perhubungan Negeri MCA Johor dan menghimpunkan kepimpinan tertinggi parti bersama wakil rakyat yang berjaya memperoleh mandat daripada pengundi.
Ka Siong berkata, kemenangan yang diraih bukan sekadar kejayaan politik, sebaliknya merupakan amanah besar yang perlu diterjemahkan melalui perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa mengira latar belakang kaum atau fahaman politik.
Katanya, dengan sokongan yang diberikan oleh rakyat Johor, MCA berjaya mempertahankan dan memenangi lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), masing-masing di Bekok, Paloh, Yong Peng, Pekan Nanas, Tangkak, Jementah, Layang-Layang dan Johor Jaya.
“Kemenangan ini adalah hasil kepercayaan rakyat kepada perjuangan MCA dan Barisan Nasional. Oleh itu, saya mengingatkan semua wakil rakyat supaya sentiasa merendah diri, tidak melupakan amanah yang telah diberikan oleh para pengundi dan sentiasa menghormati pihak lawan dalam semangat demokrasi,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurut beliau, kemenangan dalam pilihan raya tidak seharusnya menyebabkan mana-mana pemimpin leka atau terlalu selesa, sebaliknya perlu dijadikan pemangkin untuk bekerja dengan lebih gigih demi memenuhi harapan rakyat.
Beliau turut mengingatkan semua calon MCA, sama ada menang mahupun tewas supaya meneruskan komitmen berkhidmat kepada masyarakat kerana perjuangan politik tidak berakhir sebaik sahaja proses pengundian selesai.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Saya berharap semua calon dapat berehat secukupnya selepas melalui tempoh kempen yang panjang. Namun bermula pagi ini, semua wakil rakyat dan calon perlu kembali menemui pengundi serta meneruskan usaha membantu rakyat kerana itulah tanggungjawab sebenar seorang pemimpin,” katanya.
Ka Siong turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Johor yang memberikan sokongan dan kepercayaan kepada MCA dalam PRN kali ini.
Beliau menegaskan kepercayaan yang diberikan akan dibalas dengan komitmen untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik, selain memastikan setiap wakil rakyat MCA menjalankan tanggungjawab mereka secara ikhlas dan berkesan demi kepentingan rakyat.
“Kami amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Bangsa Johor. Wakil rakyat MCA akan membalas kepercayaan ini melalui khidmat yang jujur, komited dan tindakan yang benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon; Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng dan Datuk Ir. Lawrence Low, selain enam ADUN baharu MCA iaitu Ling Tian Soon, Tan Eng Meng, Tan Chong, Chua Jian Boon, Datuk Haw Chin Teck dan Chan San San.
Menurut Wee, dua lagi ADUN baharu MCA, Lee Ting Han dan See Ann Giap tidak sempat menyertai sesi bergambar kerana masih dalam perjalanan ketika gambar tersebut dirakam, namun kedua-duanya turut menyertai mesyuarat selepas itu.
Beliau menegaskan kepimpinan MCA akan terus bergerak sebagai satu pasukan dalam kerajaan negeri bagi memastikan setiap janji kepada rakyat dapat dilaksanakan, di samping memperkukuhkan peranan parti dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan Johor sepanjang penggal pentadbiran baharu.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
