KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengarahkan siasatan segera dijalankan berhubung satu video tular yang dipercayai berlaku di kawasan Wangsa Maju, yang telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, laporan polis telah diarahkan untuk dibuat hari ini bagi membolehkan siasatan dimulakan serta-merta oleh pihak berkuasa.
“Jika dakwaan ini terbukti benar, ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) yang terlibat akan dipecat serta-merta tanpa sebarang kompromi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pendirian kerajaan adalah jelas iaitu tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk amalan wang perlindungan atau kewujudan orang tengah dalam urusan melibatkan kepentingan awam.
Sehubungan itu, orang ramai digesa tampil menyalurkan maklumat atau membuat aduan sekiranya mempunyai sebarang bukti atau maklumat berkaitan salah laku.
Aduan boleh disalurkan kepada Unit Integriti Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bukan sahaja melibatkan ahli MPP tetapi juga mana-mana pegawai atau agensi di bawah seliaan JWP.
Kata beliau, kerjasama rapat antara JWP dan SPRM telah diperkukuh bagi memastikan setiap aduan disiasat secara telus dan tindakan tegas dapat diambil tanpa sebarang campur tangan.
Orang ramai boleh membuat aduan melalui portal rasmi berikut:
Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP): https://www.jwp.gov.my/a/2060
SPRM: https://portaladuan.sprm.gov.my/
DBKL: https://adukl.dbkl.gov.my/
“Kerajaan komited memastikan tadbir urus yang bersih dan berintegriti, serta akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L