Ziarah Kubur Temukan Kembali Guru dan Murid Selepas 47 Tahun

Oleh: Abd Ghafar Daud

RANTAU PANJANG – Hasrat menziarahi pusara keluarga membawa kepada pertemuan yang tidak disangka apabila seorang bekas murid dan gurunya kembali dipertemukan selepas hampir 47 tahun berpisah.

Kamaruddin Mat Zain dari Kampung Tasek Permai meluahkan rasa teruja apabila bertemu semula gurunya, Ismail Daud, ketika masing-masing berada di Tanah Perkuburan Islam Cabang Tiga, Kampung Gual To’ Deh, dekat sini, hari ini.

Menurut Kamaruddin, Ismail merupakan guru Matematiknya ketika beliau menuntut di Sekolah Menengah Arab Taman Asuhan pada tahun 1979, sebelum sekolah itu dikenali sebagai Sekolah Menengah Ugama (Arab) Al-Tahiriah Tasek pada tahun 1987.

“Selepas tamat pengajian, hari ini menjadi sejarah apabila saya dapat bertemu kembali dengan cikgu selepas hampir 47 tahun tidak berjumpa.

“Saya masih ingat cara pengajaran beliau yang menekankan hafalan formula dan kaedah pengiraan yang betul bagi setiap topik,” katanya ketika ditemui.

Tambahnya, pendekatan tersebut memberi kesan mendalam sehingga beliau masih mampu mengingati dan menggunakan teknik pengiraan yang diajar sehingga kini.

“Masa belajar dahulu, kami diwajibkan menghafal formula dan memahami jalan pengiraan dengan tepat. Berbeza dengan sekarang, pelajar banyak bergantung kepada formula yang disediakan dan penggunaan kalkulator,” ujarnya.

Kamaruddin turut berkongsi bahawa anaknya, Muhammad Isam Kamaruddin, kini mengikut jejak langkah sebagai pendidik dan berkhidmat di Maahad Muhammadi Rantau Panjang.

Sementara itu, Ismail Daud yang kini menetap di Taman Nering, Gual Tinggi berkata, beliau pernah berkhidmat di beberapa buah sekolah sepanjang kerjayanya sebagai guru.

Menurutnya, beliau tidak lama di sekolah tersebut setelah memperoleh bawah pentadbiran Kementerian Pelajaran Malaysia dan mula bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Panching, Kuantan pada tahun 1983, sebelum berpindah ke beberapa sekolah lain termasuk SK Lubok Setol (1992), SK Sri Rantau Panjang (1999), SK Lebir, Gua Musang (2006) dan SK Aring, Gua Musang pada tahun 2016 sehingga bersara.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dapat bertemu kembali dengan bekas anak murid selepas sekian lama. Pada mulanya saya sendiri tidak mengenalinya sehinggalah ditegur,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas ingatan dan teguran bekas anak muridnya yang menghidupkan kembali kenangan lama dalam dunia pendidikan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *