PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberi peringatan kepada semua pengusaha, pengilang, pembekal dan pengimport untuk sentiasa cakna serta memberi perhatian serius terhadap isu sensitif melibatkan agama dan kaum.
Ketua Pengarahnya, Datin Paduka Hakimah Mohd Yusoff berkata, ini bagi mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat keseluruhannya di negara ini.
Katanya, Jakim menyatakan sokongan padu tindakan polis membuka kertas siasatan terhadap pihak yang terlibat dalam isu penjualan stoking tertera kalimah Allah yang tular baru-baru ini.
Kata beliau, sebagai institusi bertanggungjawab menyelaras pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan, Jakim memandang serius isu berkenaan kerana telah mengguris hati umat Islam.
“Ia bukan sahaja melibatkan sensitiviti keagamaan, malah boleh menggugat keharmonian masyarakat di negara ini,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Menurut Hakimah, Jakim turut memanggil pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan, KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr. KK Chai dan telah memberi amaran keras supaya perkara itu tidak berulang lagi.
Jelas beliau, pihak syarikat juga telah memberi penjelasan mengenainya dan langkah untuk mengelakkan isu seumpama itu dari berulang.
“KK Supermart & Superstore Sdn Bhd juga bersetuju untuk mengkaji dan mengemaskini semula Prosedur Operasi Standard (SOP) syarikat.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Dalam masa sama, semua pihak dinasihatkan tidak membangkitkan isu lama yang menyentuh aspek 3R iaitu agama, raja dan kaum serta menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan,” ujar beliau. – NasionalDaily
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!
