PETALING JAYA – Pemimpin kanan PAS, tan Sri Annuar Musa menggesa UMNO dan PAS menghidupkan semula kerjasama di bawah panji Muafakat Nasional (MN).
Beliau menyifatkan perpaduan Melayu-Islam sebagai satu perkara mudah yang boleh dicapai tanpa sebarang susunan politik lain, termasuk inisiatif ‘Rumah Bangsa’ cetusan UMNO.
Annuar yang menyertai PAS pada Jun 2023 berkata, kedua-dua parti harus bertemu terlebih dahulu untuk mengenal pasti titik persamaan.
“Isu perpaduan (ummah) adalah isu yang ‘straight forward’. Tak usah rumitkan dengan mereka-reka itu dan ini. Semua itu formula untuk gagal,” katanya.
Mendakwa majoriti orang Melayu kini sudahpun ‘bersatu bersama PAS dan Perikatan Nasional (PN)’, Annuar berkata, PAS masih menuntut perpaduan yang lebih meluas bersama UMNO, namun tanpa penglibatan DAP dan PKR.
“PAS mahu paksi politik bertunjangkan muafakat UMNO, PAS, bukan UMNO, DAP, PKR… itu saja. Mudah. Tak perlu berpolemik rumah itu, rumah ini.
“Yang perlu ialah muafakat Melayu Islam didahulukan dan yang lain (yang tidak ekstrem) tidak dipinggirkan,” katanya.
Beliau berkata demikian susulan perdebatan mengenai inisiatif ‘Rumah Bangsa’ UMNO, yang bertujuan menghimpunkan parti-parti politik untuk membincangkan isu berkaitan orang Melayu, Bumiputera dan agama Islam.
Semalam, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menolak inisiatif tersebut dengan menyatakan, ia berteraskan nasionalisme, bukannya Islam.
MN dibentuk oleh PAS dan UMNO pada September 2019 untuk menyatukan undi Melayu-Islam, namun tidak bertahan lama.
Bagaimanapun, PAS memutuskan untuk bekerjasama dengan Bersatu bagi membentuk PN susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri pada 2020 iaitu tindakan yang disifatkan oleh UMNO sebagai pengkhianatan.
PAS juga bertegas mahu membawa masuk Bersatu ke dalam MN, cadangan yang ditentang oleh UMNO dan pakatan itu akhirnya terkubur pada Disember 2022 apabila UMNO menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L