MCA Jangan Politikkan Larangan Penjualan Arak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI)

Mujahid bidas sindiran Hadi terhadap dialog parti Melayu-Islam

PETALING JAYA – Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof mendakwa PAS lebih mementingkan kepentingan politik sendiri apabila Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyindir usaha dialog antara parti politik Melayu-Islam yang diusahakan UMNO.

Dr. Mujahid berkata, sindiran Abdul Hadi terhadap usaha dialog itu juga mencerminkan pendekatan yang gemar melabel, menghina dan meragui keikhlasan pihak lain hanya kerana berbeza pandangan politik.

Menurutnya, kenyataan dalam ‘Minda Presiden PAS’ itu turut menggunakan pelbagai metafora seperti ‘bisikan syaitan’ dan ‘hantu raya’, selain mempertikaikan amalan pihak lain seolah hanya PAS membawa Islam, manakala pihak lain dianggap tersasar.

“Pendekatan seperti ini bukan sahaja tidak matang, malah sangat berbahaya kerana menjadikan agama sebagai alat untuk menghukum dan merendahkan pihak lain.

“Islam tidak pernah mengajar umatnya meragui iman orang lain semata-mata kerana perbezaan politik,” katanya dalam kenyataan.

Dr. Mujahid turut menegaskan pendekatan menghina serta menolak usaha membuka ruang dialog dan mencari titik pertemuan demi kepentingan umat dan negara hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

“Ia akan menajamkan lagi perpecahan orang Melayu dan umat Islam di Malaysia,” katanya.

Semalam, Abdul Hadi dilaporkan berkata, PAS tidak bersedia menyokong agenda ‘Rumah Bangsa’ anjuran UMNO kerana menyifatkan platform tersebut tidak berteraskan Islam.

Menurutnya, kesimpulan sedemikian dibuat susulan pemerhatian wakil yang dihantar pihaknya ke pertemuan parti-parti politik terlibat minggu lepas.

Beliau turut mendakwa penyakit was-was daripada bisikan syaitan turut mengganggu ahli UMNO sendiri kerana berlawanan dengan perjuangan asal parti itu yang meletakkan agama sebahagian daripada dasarnya.

Pada 5 Mac lalu, lapan parti politik berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera pertama kali duduk semeja untuk mencari titik persefahaman mengenai isu kepentingan agama dan kaum menerusi pertemuan yang diadakan di Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.

Dalam pertemuan itu, PAS diwakili Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *