KUALA LUMPUR – Optimax Eye Specialist Centre (OESC) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pusat pakar mata terkemuka di Malaysia dengan menyediakan perkhidmatan rawatan oftalmologi komprehensif serta menyokong usaha meningkatkan tahap kesihatan mata rakyat.
Ketua Pegawai Strategik, Optimax Eye Specialist Centre, Dr. Asmah Razalli berkata, pusat pakar yang ditubuhkan pada 1995 di kawasan Taman Tun Dr Ismail itu kini memasuki tahun ke-31 operasi dengan rangkaian kemudahan yang semakin berkembang, termasuk 22 dewan bedah, lapan pusat ambulatori, 16 klinik dan satelit serta sebuah hospital pakar mata.
Katanya, OESC yang juga sebahagian daripada Optimax Holdings Berhad turut menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa melalui pensijilan ISO serta beberapa anugerah industri kesihatan.
Antaranya, kata beliau, termasuk pengiktirafan sebagai hospital pakar mata terbaik di Asia menerusi Asia Healthcare Awards 2025, selain disenaraikan antara pusat kesihatan mata terbaik di Asia oleh majalah Newsweek bagi tahun 2026.
“Dari segi jaringan perkhidmatan, Optimax mempunyai cawangan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak serta operasi serantau di Kemboja. Syarikat itu juga merancang untuk memperluaskan operasinya ke Indonesia dalam usaha memperkukuh kehadiran di pasaran Asia Tenggara.
“Pusat pakar ini menawarkan pelbagai perkhidmatan rawatan mata termasuk rawatan rabun sehenti untuk kanak-kanak menerusi Pusat Myopia Kanak-Kanak serta pusat refraktif yang menawarkan teknologi rawatan terkini seperti Presbyond dan SMILE Pro.
“Selain pembetulan rabun, OESC turut menyediakan rawatan bagi pelbagai penyakit mata termasuk katarak, glaukoma, retinopati diabetik, jangkitan mata serta gangguan penglihatan lain,” katanya.
Dr. Asmah berkata demikian pada majlis Memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara Optimax Holdings Berhad dengan MyANGKASA Holdings Sdn. Bhd. (MHSB) di The Mines Resort & Golf Club, Selangor semalam.
MoU tersebut ditandatangani Naib Presiden ANGKASA merangkap Ahli Lembaga Pengarah MHSB, Che Mohd Shukree Che Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Optimax Eye Specialist Centre, Sandy Tan Sing Yee dengan disaksikan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin.
Turut hadir, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Optimax, Tan Sri Dr. Tan Boon Hock.
Menurut Dr. Asmah, kerjasama strategik ini adalah yang pertama di Malaysia dan dapat membantu meringankan beban para pesakit dengan kos melalui potongan gaji di bawah MyANGKASA Holdings.
“Di bawah strategik Optimax Holdings dan MyANGKASA Holdings, kira-kira 7 juta ahli koperasi dan keluarga mereka berpeluang mendapatkan rawatan kesihatan mata yang lebih menyeluruh.
“Ini juga dapat meringankan beban hospital awam yang mempunyai masa menunggu yang lama, pesakit boleh mendapatkan rawatan di semua cawangan Optimax di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, dalam usaha memperluas portfolio kesihatan, Optimax Holdings juga turut membangunkan produk suplemen kesihatan mata untuk dewasa dan kanak-kanak di bawah jenama Optixanthin dan Juicemax, selain memperkenalkan perkhidmatan klinik estetika melalui Neumax.
“Perkembangan sektor kesihatan mata ini dilihat selari dengan agenda kesihatan awam negara yang memberi penekanan kepada pencegahan serta rawatan awal penyakit mata, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup dan produktiviti masyarakat.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L