Bekas anggota Marin cedera ketika protes perang Iran, kempen pencalonan untuk Senat AS

WASHINGTON – Bekas anggota tentera Marin, Brian McGinnis yang cedera ketika membantah serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran, menegaskan beliau akan teruskan kempen sebagai calon Green Party untuk Senat AS.

McGinnis, 44, yang bertanding di North Carolina cedera ketika berlaku pergelutan dengan polis di Bangunan Capitol dan Senator Republikan, Tim Sheehy semasa pendengaran sub jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Senat.

Beliau dikatakan melaungkan: “Israel adalah punca perang ini, AS tidak mahu berperang untuk Israel,” sebelum lengannya patah ketika pergelutan cuba mengheretnya keluar.

Rakaman video kejadian yang disahkan oleh Reuters menunjukkan pegawai polis dan Sheehy cuba mengeluarkan McGinnis, yang berpakaian seragam tentera dari pintu, sementara tangannya tersepit di engsel pintu.

“Tiada siapa mahu berperang untuk Israel,” jerit McGinnis, ketika orang ramai memberi perhatian kepada tangannya yang tersepit.

McGinnis kini berdepan tuduhan menyerang pegawai polis, menentang penahanan dan menghalang semasa demonstrasi haram, menurut polis.

Dalam hantaran di X pada Khamis, McGinnis menegaskan: “Saya sudah bertanding sebelum ini, dan ya saya akan teruskan, walaupun selepas patah lengan kerana mempertahankan apa yang saya percaya.

“Ini hanya menjadikan saya lebih bertekad. Kemarahan itu nyata, begitu juga keteguhan saya,” katanya.

Ketegangan meningkat sejak kempen ketenteraan besar-besaran ke atas Iran bermula pada Sabtu lalu, mencetuskan konflik baharu di Asia Barat.

Tentera AS dan Israel menyerang beberapa lokasi di Iran, sekali gus mendorong serangan balas Iran terhadap Israel dan negara Arab Teluk berdekatan.

Laman sesawang kempen McGinnis menyatakan, beliau menyertai latihan marin beberapa hari selepas tamat sekolah menengah dan berkhidmat selama empat tahun.

Profil Instagram beliau pula menyenaraikan beliau sebagai veteran, bomba dan bapa kepada empat anak.

Green Party adalah parti ketiga yang menarik pengundi bebas tetapi tiada ahli parti ini pernah memenangi kerusi di Senat AS.

Dalam hantaran di X, Sheehy berkata beliau campur tangan untuk menenangkan keadaan ketika pendengaran sub jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Senat.

“Polis Bangunan Capitol cuba mengeluarkan seorang penunjuk perasaan tidak terkawal dari sesi pendengaran itu. Dia melawan. Saya mengambil keputusan membantu dan menenangkan keadaan.

“Lelaki ini datang ke Capitol untuk mencari konfrontasi, dan dia memperolehnya. Saya harap dia mendapat bantuan yang diperlukan tanpa menyebabkan keganasan lanjut,” tulis Sheehy.

Tiga pegawai dirawat akibat cedera, manakala suspek yang lengannya tersepit di pintu semasa cuba menentang pegawai dan cuba masuk kembali ke bilik pendengaran, turut dirawat,” menurut Polis Capitol.

McGinnis tidak memberi sebarang komen lanjut, dan keluarganya berkata beliau akan menjauhkan diri daripada orang ramai bagi memberi tumpuan kepada pemulihan.

“Keutamaan kami ialah kesejahteraan Brian. Kami mengambil langkah untuk menjauhkan beliau daripada perhatian umum supaya beliau boleh tumpu sepenuhnya pada pemulihan secara peribadi,” menurut keluarga McGinnis di halaman X mereka. – REUTERS

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *