Filipina tahan warganegara didakwa menjadi perisik China

MANILA – Kerajaan Filipina berkata ia menahan beberapa warganegaranya kerana disyaki suspek terbabit dalam kegiatan perisikan untuk China membabitkan isu keselamatan negara yang serius, terutama berkaitan Laut China Selatan.

Sehubungan itu, Manila menekankan keperluan undang-undang lebih ketat terhadap pengintipan dan campur tangan asing, dalam usaha mencabar kedaulatan dan wilayah milik negara.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak memberikan butiran lanjut mengenai kes itu, termasuk bilangan mereka yang ditahan atau sama ada pertuduhan difailkan.

“Operasi individu ini, yang bertindak atas arahan perisikan China, telah ditangani dan dihentikan.

“Tindakan sewajarnya sudah diambil terhadap individu terbabit, semua warganegara Filipina yang mengaku terbabit dalam aktiviti pengintipan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa,” kata Majlis Keselamatan Negara dalam kenyataan.

Hubungan antara Filipina dan China semakin tegang berikutan konfrontasi berulang di Laut China Selatan, dengan kedua pihak juga terbabit dalam ‘perang mulut’ yang semakin meningkat di media sosial.

Kementerian Luar China dan kedutaannya di Manila tidak memberi maklum balas segera kepada permintaan untuk komen.

Sekurang-kurangnya tiga warganegara Filipina terbabit, menurut dua sumber keselamatan yang enggan dikenali kerana isu sensitif.

Salah seorang yang dituduh berkata dia pada awalnya didekati oleh seorang kenalan wanita Filipina ketika menjadi kakitangan bawahan di Jabatan Pertahanan Nasional dengan tawaran menulis artikel pendapat sebagai balasan bayaran.

“Kemudian, tugas itu berkembang untuk menyediakan maklumat berkaitan Laut China Selatan dan pembabitan dua hala Kementerian Pertahanan dengan sekutu Filipina termasuk Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Dia berkata pada awalnya tidak menyedari dia bekerja untuk kepentingan China dan hanya mula curiga selepas itu, tetapi sukar untuk berhenti kerana memerlukan wang, sambil menambah dia terbabit dalam aktiviti itu antara 2023 dan 2025.

China mempunyai tuntutan wilayah luas di Laut China Selatan, yang bertindih dengan zon ekonomi eksklusif Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Vietnam.

Pada 2016, tribunal timbang tara antarabangsa memutuskan tuntutan China tiada asas tuntutan di laut China Selatan di bawah undang-undang antarabangsa, namun Beijing tidak mengiktiraf keputusan itu. – REUTERS

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *