Batu Puteh: Tidak timbul soal PM perlu tanggungjawab.

Calon PM Masih Teka Teki Walau Samsuri Pengerusi PN – Muhyiddin

SHAH ALAM – Pelantikan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mencetuskan spekulasi mengenai hala tuju kepimpinan gabungan itu menjelang PRU16.

Namun, bekas pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, ia tidak harus ditafsir sebagai isyarat awal penentuan calon Perdana Menteri.

Menurut Presiden Bersatu itu, jawatan pengerusi gabungan dan pencalonan Perdana Menteri adalah dua proses berasingan yang belum diputuskan di peringkat kepimpinan tertinggi PN.

Ahmad Samsuri, yang juga Naib Presiden Pas dilantik menerajui PN pada 22 Februari lalu, menggantikan Muhyiddin yang meletakkan jawatan pada hujung Disember 2025.

Muhyiddin memberi bayangan, soal calon Perdana Menteri bukan keutamaan ketika ini, malah kepimpinan Pas sebelum ini juga tidak bersetuju isu tersebut diperincikan lebih awal.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, Bersatu sebelum ini berpandangan jawatan pengerusi wajar disandang presiden parti yang lebih senior.

Bagaimanapun, beliau menghormati pendirian Pas yang mahu Ahmad Samsuri mengetuai gabungan tersebut.

“Perlembagaan PN tidak menetapkan pengerusi mesti terdiri daripada presiden parti komponen, sebaliknya hanya menyentuh aspek senioriti.

“Pendirian ini memperlihatkan keseimbangan kuasa antara dua tunjang utama PN iaitu Pas dan Bersatu dalam menentukan struktur kepimpinan gabungan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin turut memberi isyarat tegas, beliau tidak bersedia membuka ruang kerjasama dengan bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam tempoh terdekat.

Tegasnya, sebarang permohonan menyertai PN perlu mendapat persetujuan semua parti komponen, namun secara peribadi beliau tidak lagi mempunyai kepercayaan terhadap bekas rakan seperjuangannya itu.

Kenyataan tersebut dilihat sebagai mesej jelas mengenai pendirian kepimpinan Bersatu terhadap sebarang usaha penyatuan semula yang melibatkan tokoh berkenaan.

Pada masa sama, Muhyiddin memberi bayangan era kepimpinannya dalam Bersatu tidak akan berpanjangan, malah kesediaan memberi laluan kepada generasi baharu parti dalam masa terdekat.

Antara nama yang disebut sebagai pelapis termasuk Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Muhammad Hilman Idham dan Dr. Afif Bahardin.

Kenyataan itu dilihat sebagai petanda awal proses transisi dalaman Bersatu, ketika PN sedang menyusun strategi menghadapi landskap politik yang semakin mencabar.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *