Dari Meja Editorial
SERANGAN balas yang dilancarkan oleh Iran ke atas Israel zionis sejak awal tahun ini, dan khususnya gelombang terkini pada awal Mac ini, telah meninggalkan kesan signifikan di pelbagai sektor iaitu dari infrastruktur kritikal kepada nyawa manusia serta menggugat kestabilan ekonomi dan sosial masyarakat.
Analisis menurut laporan media global menunjukkan tahap kerosakan ‘paling teruk’ boleh digolongkan kepada beberapa dimensi utama iaitu daripada gangguan sistem tenaga negara kepada kemusnahan fizikal dan impak psikologi berterusan.
Serangan terbaharu Iran tidak terhad kepada sasaran ketenteraan semata-mata, tetapi turut memfokus kepada infrastruktur tenaga Israel iaitu satu aspek yang dilihat berpotensi mengundang krisis tenaga sekiranya berlanjutan.
Menurut sumber tempatan, sebahagian aset kritikal seperti pusat penapis minyak dan sistem tenaga utama Israel zionis telah mengalami impak serius.
Antaranya, Kompleks Penapis Minyak Utama di Haifa dilaporkan mengalami kebakaran besar selepas terkena peluru berpandu, mengakibatkan operasi terhenti serta-merta dan gangguan bekalan bahan bakar penting kepada industri dan sektor pengangkutan.
Stesen Janakuasa di Haifa dan Ashdod menerima impak dari serangan peluru berpandu, menyebabkan gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan bandar.
Kemudahan Rawatan Air Sisa di Herzliya, yang menyokong sistem sanitasi dan perkhidmatan awam turut rosak akibat peluru berpandu balistik.
Gangguan kepada infrastruktur tenaga membawa kesan mendalam kepada kehidupan seharian dan operasi perniagaan serta mencetuskan ketidakpastian mengenai kestabilan bekalan elektrik dan bahan bakar di masa hadapan.
Pangkalan udara dan fasilitas ketenteraan Israel zionis menjadi sasaran utama dalam beberapa siri serangan sebelumnya, sebahagian daripadanya dirakam dalam operasi yang berlaku sejak tahun lalu.
Pangkalan Udara Nevatim kekal sebagai salah satu sasaran paling kerap. Analisis imej satelit sebelum ini menunjukkan kerosakan pada landasan dan beberapa struktur bangunan di kompleks tersebut akibat serangan berulang.
Pangkalan Udara Ramon pula mengalami impak yang lebih kecil, namun tetap mencerminkan kebolehan Iran menyerang sasaran strategik dalam sempadan Israel.
Kerosakan jenis ini bukan sahaja menjejaskan keupayaan operasi tentera Israel zionis, tetapi turut meningkatkan kos pembaikan dan langkah keselamatan tambahan.
Walaupun sistem pertahanan udara Israel zionis seperti Iron Dome dan sistem peluru berpandu lanjutan mampu menangkis sebahagian besar serangan, beberapa serangan balistik semasa gelombang terbaharu mengakibatkan kelebihan serpihan dan tembakan yang tidak dapat dihalang sepenuhnya.
Dalam kejadian terbaharu awal Mac lalu, laporan awal media tempatan menyatakan beberapa warga Israel tercedera akibat serangan peluru berpandu yang melanda kawasan perbandaran seperti Tel Aviv, memaksa pemindahan lebih 200 penduduk dari kediaman mereka kerana bahaya struktur yang rosak.
Serangan Iran pada masa konflik utama Jun 2025 (yang dikenali sebagai Perang 12 Hari) dilaporkan menyebabkan puluhan nyawa terkorban di kawasan padat penduduk seperti Beit Shemesh, Tel Aviv dan Bat Yam.
Beratus struktur kediaman mengalami kerosakan serius akibat peluru berpandu balistik yang menembusi sistem pertahanan.
Banyak rumah lama serta bangunan bersejarah memerlukan pembaikan atau perobohan sepenuhnya, proses yang masih berjalan sehingga awal 2026 dan menyebabkan gangguan besar dalam kehidupan komuniti setempat.
Walaupun usaha pemulihan telah dijalankan secara berperingkat sejak konflik bermula, lapor media menunjukkan proses pembinaan semula bangunan terjejas berjalan lambat disebabkan birokrasi dan keselamatan lanjutan.
Ramai penduduk masih hidup dalam keadaan sementara atau bergantung kepada bantuan sosial.
Krisis ini turut mencetuskan gangguan penerbangan besar apabila wilayah udara di sekitar Teluk dan timur Mediterranean menjadi tidak stabil, termasuk penutupan ruang udara di Selat Hormuz dan pembatalan ratusan penerbangan komersial, memberi kesan kepada sistem pengangkutan udara global.
Rantau pengeluaran dan penghantaran tenaga turut terjejas, menyumbang kepada kenaikan harga minyak mentah dunia yang melonjak sehingga lebih dari 10 hingga 13 peratus pada awal Mac ini, menurut pedagang pasaran.
Perlu diakui, konflik berskala besar antara Iran dan Israel bukan sesuatu yang baharu pada tahun ini. Gelombang ketegangan Jun 2025 yang dikenali sebagai Perang 12 Hari telah melihat pelancaran ratusan misil dari kedua belah pihak menyebabkan kematian berpuluh-puluh nyawa dan kerosakan luas kepada kedua negara sebelum pengumuman gencatan senjata.
Konflik ini kini berkembang menjadi salah satu episod paling tegang dalam sejarah Asia Barat moden, dengan implikasi yang melampaui sempadan Israel dan Iran, membabitkan pangkalan tentera negara jiran serta negara superpower yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam konflik.
Serangan Iran terhadap Israel sejak awal 2026 dan kesinambungan kesan konflik sejak 2025, telah mencatat bentuk kerosakan paling teruk dalam beberapa dekad.
Dari gangguan infrastruktur tenaga, kerosakan pangkalan ketenteraan, kehilangan nyawa kepada kesan sosial dan ekonomi yang luas, konflik ini memberi gambaran jelas mengenai kos sebenar peperangan dalam era moden, bukan sahaja dalam aspek fizikal, tetapi juga pada generasi masa depan rakyat Israel zionis.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L