KUALA LUMPUR – Peruncit elektronik pengguna, Senheng New Retail Bhd (Senheng) mencatatkan pemulihan luar biasa pada suku keempat yang berakhir pada 31 Disember 2025 (S4 TK2025) apabila keuntungan selepas cukainya (PAT) melonjak kukuh sebanyak 343.9 peratus.
Senheng New Retail Bhd dalam kenyataannya berkata, syarikat berkenaan berjaya mencatatkan keuntungan sebanyak RM2.93 juta berbanding RM0.66 juta pada suku ketiga TK2025.
Pencapaian ini adalah satu pemulihan yang ketara berbanding kerugian sebanyak RM1.52 juta yang dicatatkan pada Suku Keempat TK2024 yang terjejas oleh pelarasan sekali sahaja. Prestasi cemerlang ini mencerminkan leveraj operasi yang lebih kukuh dan kualiti permintaan yang bertambah baik.
Selain itu, keuntungan sebelum cukai (PBT) Kumpulan turut mencatatkan peningkatan mendadak sebanyak 159.8 peratus berasaskan tahun ke tahun kepada RM4.03 juta berbanding RM1.55 juta pada Suku Keempat TK2024. Kenaikan ini disokong oleh hasil yang lebih tinggi serta sumbangan margin kasar yang bertambah baik.
Dari segi pendapatan, hasil Kumpulan bagi S4 TK2025 mencatatkan RM322.22 juta, peningkatan sebanyak 4.5 peratus berasaskan tahun ke tahun berbanding RM308.49 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Pada masa sama, keuntungan kasar Kumpulan meningkat 10.4 peratus kepada RM69.11 juta, hasil daripada peningkatan campuran produk dan inisiatif pengoptimuman margin.
Kebangkitan semula syarikat pada akhir tahun ini dikaitkan secara langsung dengan kejayaan pelaksanaan percubaan Model Perniagaan Ekonomi Berasaskan Mata (PBE) yang dijalankan antara bulan September hingga Disember 2025.
Inisiatif berkenaan telah menggalakkan penyertaan pelanggan, mencatatkan trend penebusan yang lebih kukuh, dan membentuk corak penglibatan yang berulang.
Ini selari dengan strategi baharu Kumpulan untuk tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada taktik pemasaran yang didorong oleh harga atau “perang harga” semata-mata.
Mengulas mengenai pencapaian positif ini, Pengarah Urusan Senheng New Retail Bhd, Lim Kim Heng berkata, suku keempat menandakan momentum pemulihan yang sangat bermakna buat syarikat dengan pertumbuhan pendapatan kini diterjemahkan kepada keuntungan yang lebih kukuh.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L